MANILA: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte ditahan di Manila oleh pihak polis susulan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berubung operasi perang dadahnya yang membunuh puluhan ribu mangsa.
Menurut Utusan Malaysia, ICC memaklumkan, pemimpin berusia 79 tahun itu berdepan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan.
Ia berkaitan dengan tindakan kerasnya, yang menurut kumpulan hak asasi, meragut nyawa puluhan ribu lelaki miskin yang didakwa terbabit dengan dadah, kebanyakannya tanpa bukti jelas pembabitan mereka.
“Awal pagi tadi, Interpol Manila menerima salinan rasmi waran tangkap daripada ICC. Pada masa ini, beliau berada dalam tahanan pihak berkuasa,” menurut kenyataan Istana Presiden.
Kenyataan itu memaklumkan, Duterte dan kumpulannya berada dalam keadaan sihat dan sedang diperiksa oleh doktor kerajaan’.
Bekas penasihat undang-undang utama Duterte, Salvador Panelo, menyifatkan penahanan itu sebagai tidak sah.
“Polis Kebangsaan Filipina (PNP) tidak membenarkan Duterte bertemu peguamnya di lapangan terbang dan asas perundangan bagi penahanannya boleh dipertikaikan,” katanya sambil menambah salinan fizikal waran ICC masih belum diserahkan.
Human Rights Watch sebelum ini menggesa kerajaan Presiden, Ferdinand Marcos Jr. untuk segera menyerahkan Duterte kepada ICC sambil menyifatkan penahanan itu sebagai langkah penting ke arah kebertanggungjawaban di Filipina.
Duterte ditahan pada pagi Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila selepas pulang dari lawatan singkat ke Hong Kong.
Filipina menarik diri daripada ICC pada 2019 atas arahan Duterte, tetapi tribunal itu menegaskan bahawa ia masih mempunyai bidang kuasa terhadap pembunuhan yang berlaku sebelum penarikan diri Filipina.
Antaranya termasuk pembunuhan di bandar selatan Davao ketika Duterte menjadi datuk bandar, bertahun-tahun sebelum beliau menjadi Presiden.
Sebelum ini, kerajaan Marcos Jr. dalam beberapa kenyataan, menegaskan ia tidak akan bekerjasama dengan siasatan ICC.
Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden, Claire Castro pada Ahad menyatakan bahawa jika Interpol meminta bantuan yang diperlukan daripada kerajaan, ia wajib dipatuhi.
Duterte masih mendapat sokongan luas dalam kalangan rakyat Filipina yang menyokong pendekatan tegasnya terhadap jenayah dan beliau kekal sebagai kuasa politik yang berpengaruh.
Beliau kini bertanding untuk mendapatkan semula jawatan Datuk Bandar Davao, kubu kuatnya, dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Mei ini.
Walaupun Duterte menegaskan beliau tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pembunuhan yang tidak sah, polis menganggarkan seramai 6,000 orang terbunuh dalam kempen anti-dadahnya.
Dalam pembukaan siasatan Senat Filipina mengenai perang dadah pada Oktober lalu, Duterte berkata, beliau tidak akan meminta maaf atau memberi alasan atas tindakannya.
“Saya lakukan apa yang perlu saya lakukan, dan sama ada anda percaya atau tidak, saya lakukannya demi negara saya,” katanya.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa terdapat ribuan lagi pembunuhan yang belum dapat dijelaskan, dengan pendakwa raya ICC menganggarkan jumlah kematian sebenar melibatkan antara 12,000 hingga 30,000 mangsa.


































