Sam Altman dan Elon Musk
NEW YORK: Pembuat ChatGPT, OpenAI, menolak bidaan AS$97.4 bilion (RM431.8 bilion) daripada konsortium yang diketuai oleh jutawan Elon Musk, dengan alasan syarikat pemula itu bukan untuk dijual.
Menurut Utusan Malaysia, tawaran itu adalah cubaan terkini Musk untuk menghalang OpenAI yang diasaskan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Sam Altman, daripada menjadi syarikat berorientasikan keuntungan.
Pengerusi OpenAI, Bret Taylor berkata, lembaga pengarah sebulat suara menolak percubaan terbaharu Musk untuk menganggu persaingannya.
“Sebarang penstrukturan semula OpenAI akan mengukuhkan lagi pendirian sebagai institusi bukan berasaskan keuntungan kami.
“Misi kami adalah untuk memastikan AI memberi manfaat kepada manusia di seluruh dunia secara umum,” katanya dalam hantaran di X, kelmarin.
Kenyataan tersebut menandakan satu lagi perkembangan dalam perseteruan berpanjangan antara OpenAI dan Musk mengenai rancangan penstrukturan semula pembangun ChatGPT itu.
Sebelum ini, Altman memuat naik hantaran di platform media sosial X milik Musk, yang secara sinis menolak tawaran tersebut.
“Tidak, terima kasih tetapi kami akan membeli Twitter dengan harga AS$9.74 bilion (RM43.53 bilion) jika anda mahu,” katanya.
Musk dan Altman mengasaskan syarikat pemula itu pada 2015 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Namun, hubungan mereka menjadi tegang sejak Musk, yang kini pengasas Tesla dan X, meninggalkan syarikat itu pada 2018.
Altman kini dikatakan sedang menyusun semula OpenAI menjadi sebuah entiti berasaskan keuntungan dengan melucutkan lembaga bukan untungnya, langkah yang menurut Musk berbeza daripada misi asalnya untuk membangunkan AI demi kebaikan manusia.
Bagaimanapun, OpenAI berpendapat peralihan kepada syarikat berasaskan keuntungan adalah perlu untuk mendapatkan dana mencukupi bagi membangunkan model kecerdasan buatan terbaik.
Ini termasuk memudahkan pengumpulan dana dan meningkatkan pulangan untuk pelabur serta pekerja.


































