Hajiji bersama wakil rakyat dan pemimpin masyarakat Tuaran menunjukkan gulungan skrol ucapan Tahun Baharu Cina.
TUARAN: Keputusan Kabinet Persekutuan untuk membatalkan garis panduan yang dicadangkan bagi Muslim menghadiri acara bukan Muslim adalah langkah yang bijak kerana ia tidak relevan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa garis panduan yang dicadangkan itu tidak relevan bagi kita. Di sini, kita saling menghormati.
“Ambil saya sebagai contoh, adalah mustahil untuk saya tidak menghadiri perayaan masyarakat berbilang agama dan kaum di Sabah,” katanya.
Bercakap pada Festival Angpow yang dianjurkan oleh 10 persatuan Cina dan NGO di Dewan Sri Sulaman di sini malam tadi, Hajiji berkata: “Apabila mertua saya meninggal dunia, saya memberi penghormatan terakhir di Gereja St Philips, Tamparuli. Itu tidak menjejaskan kepercayaan saya atau menjadikan saya kurang Muslim. Semuanya berkaitan dengan akidah kita,” katanya yang juga ADUN Sulaman.

Sehubungan itu, Hajiji menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain.
“Di Sabah, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Ramai di antara kita mempunyai saudara-mara yang menganut agama berbeza,” katanya.
Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina kerana terus menjadi rakan dalam membangunkan ekonomi negeri.
“Bukan itu sahaja, masyarakat Cina juga telah menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kami berterima kasih kepada mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya.

Hajiji berkata, sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah besar untuk pembangunan sekolah Cina sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan pendidikan di Sabah secara menyeluruh.
Tahun lalu sahaja, katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM480 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Dahulu, jumlah biasiswa yang diberikan setiap tahun hanyalah RM50 juta. Tetapi sepanjang tempoh saya, kami telah meningkatkannya kepada RM128 juta setahun.
“Kami memberikan biasiswa kepada semua yang layak. Tahun lalu, kami mengagihkan sejumlah RM128 juta kepada 12,000 pelajar,” katanya.

Hajiji berkata, daripada 12,000 pelajar itu, 5,000 adalah Bumiputera Muslim, 5,000 Bumiputera bukan Muslim, dan 2,000 pelajar Cina.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini telah mencapai banyak kejayaan, termasuk menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas yang membuka banyak peluang untuk Sabah dalam industri minyak dan gas.
Selain itu, katanya, inisiatif mesra pelabur Sabah juga telah menarik banyak pelaburan ke negeri ini.
Beliau berharap masyarakat Cina akan terus menyokong Kerajaan Negeri sedia ada bagi memastikan semua pelan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


































