Amisah bergambar kenangan bersama peserta Seminar Seni Ucapan Berkesan di Dewan Perpustakaan Daerah Ranau, kelmarin.
RANAU: Cabaran dan persaingan dalam berkomunikasi secara berkesan menjadikan kemahiran ini amat bernilai dalam kehidupan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, keupayaan menyampaikan idea dengan jelas bukan sahaja memperkukuh keyakinan diri tetapi juga membuka peluang dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk kerjaya, perniagaan, dan hubungan sosial.
Menurutnya, seni ucapan bukan sekadar menyusun kata-kata yang indah tetapi melibatkan pelbagai aspek, antaranya penggunaan bahasa yang tepat, pengucapan yang jelas, serta penyampaian yang penuh keyakinan dan emosi.
“Saya percaya bahawa setiap daripada kita, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, mempunyai potensi untuk menjadi pembicara yang hebat.
“Ini bukan sekadar kemahiran untuk mereka yang terlibat dalam politik atau media, tetapi ia penting untuk semua golongan, khususnya wanita yang sering berdepan cabaran dalam menonjolkan diri dan menyuarakan pendapat,” katanya ketika merasmikan Seminar Seni Ucapan Berkesan di Dewan Perpustakaan Daerah Ranau, kelmarin.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah, Marlina Madjid serta para peserta seminar.
Amisah berkata, seminar seperti ini memberi peluang kepada peserta untuk mendalami seni pengucapan awam dengan lebih mendalam. Ia turut membantu mereka menguasai teknik penting seperti penyampaian mesej yang jelas, penggunaan nada suara yang sesuai, serta cara berinteraksi dengan audiens secara menarik.
“Semua elemen ini membantu seseorang berkomunikasi dengan lebih yakin dan berkesan, sekaligus memberi impak yang lebih besar dalam setiap perkara yang kita lakukan,” jelasnya.
Tambah Amisah, wanita adalah tonggak keluarga, masyarakat, dan negara. Peranan mereka amat besar, namun untuk menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan, mereka perlu berani bersuara dan berkomunikasi dengan baik.
“Kita harus yakin dengan apa yang kita katakan dan tahu bagaimana menyampaikan idea agar diterima oleh orang lain. Wanita juga perlu menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menunggu peluang datang kepada kita.
“Kita perlu mencipta peluang itu dengan menyuarakan pendapat dan idea-idea bernas melalui komunikasi yang berkesan. Ucapan kita mampu memberi inspirasi, memotivasi, dan mengubah persepsi orang lain terhadap sesuatu isu. Setiap wanita di sini perlu melihat seni berucap sebagai alat penting dalam memperkasakan diri serta memperjuangkan hak-hak kita,” ujarnya.
Amisah turut menegaskan bahawa di Sabah, semakin ramai wanita mula menceburi bidang politik dan kepimpinan. Namun, untuk berjaya dalam arena ini, kemahiran komunikasi yang berkesan adalah aspek penting yang perlu dikuasai.
“Pengucapan awam yang baik membantu seorang pemimpin menggugah hati pendengar, memberi inspirasi kepada pengikut, serta menyampaikan visi dan misi dengan penuh keyakinan dan kredibiliti,” katanya.
Menurutnya, dalam dunia politik, cara seseorang menyampaikan pendapat sering menjadi ukuran sejauh mana mereka mampu mempengaruhi orang lain.
“Seorang ahli politik yang baik bukan sekadar pemikir yang cerdas, tetapi juga pembicara yang mampu menarik perhatian ramai, menyampaikan mesej dengan tepat, serta membuat orang ramai merasa terhubung dengan apa yang disampaikan.
“Sebagai wanita yang terlibat dalam politik atau yang beraspirasi ke arah itu, menguasai seni pengucapan awam adalah aset paling berharga yang perlu dimiliki,” tegasnya.


































