PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering yang melanda sebahagian kawasan di utara Semenanjung Malaysia disebabkan fenomena Madden – Julian Oscillation (MJO) atau Ayunan Madden Julian yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.
Menurut Utusan Malaysia, fenomena MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera, menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera skala besar pada bahagian barat Lautan Hindi dan bergerak ke timur ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia.
Pakar klimatologi, Dr. Fredolin Tangang berkata, berdasarkan Pusat Ramalan Cuaca di Amerika Syarikat (AS), fenomena MJO bermula sejak 9 Februari lalu dan memulakan pergerakan dari Lautan Hindi menuju ke Lautan Pasifik.
Ia berlaku secara berulang dengan purata sekali dalam tempoh dua ke tiga bulan dengan melalui rantau ini selama tujuh hingga 10 hari.
“Berdasarkan ramalan dikeluarkan, terdapat kawasan-kawasan yang menunjukkan tekanan tinggi kerana perolakan terhalang dan kurang litupan awam.
“Keadaan itu berpotensi meningkatkan penyerapan haba dari pancaran matahari oleh permukaan bumi sekaligus meningkatkan suhu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan cuaca panas dan kering pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac depan.
Fredolin berkata, pergerakan MJO dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik akan menyebabkan berlakunya dua fasa berbeza iaitu peningkatan curahan hujan dan menyebabkan cuaca kering.


































