Notis pemberitahuan kekurangan bekalan ditampal di bahagian telur sebuah pasaraya di Miami, Florida, pada 23 Januari lepas.
PENNSYLVANIA: Harga telur di Amerika Syarikat (AS) melonjak mendadak berikutan wabak selesema burung yang menjejaskan bekalan di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, keadaan itu menyebabkan kekurangan stok dalam pasaran, kenaikan harga secara drastik dan bahkan kes kecurian.
Terbaharu, lebih 100,000 telur bernilai AS$40,000 (RM177,202) dicuri dari sebuah kedai runcit di negeri Pennsylvania.
Menurut polis, kes kecurian lebih 100,000 biji telur itu menyasarkan sebuah lori di Organik Pete & Gerry di Greencastle pada 1 Februari lalu.
Kelmarin, sebuah treler yang membawa muatan telur terbabas di Lebuhraya I-5 di California, menyebabkan ribuan biji telur bertaburan di atas jalan.
Kejadian itu secara tidak langsung mencetuskan pelbagai reaksi dan kekecewaan dalam kalangan pengguna media sosial AS.
Data kerajaan AS menunjukkan harga telur melonjak lebih daripada 65 peratus sejak tahun lalu dan Jabatan Pertanian meramalkan kos akan meningkat sebanyak kira-kira 20 peratus pada tahun 2025.
Dalam perkembangan sama, restoran Waffle House mengumumkan caj tambahan AS$0.50 (RM2.21) bagi setiap telur yang dipesan pelanggan.
Rangkaian restoran AS itu menyifatkannya sebagai caj tambahan sementara yang disasarkan susulan kenaikan harga telur yang luar biasa.
Wabak selesema burung yang bermula pada 2022 menyebabkan penularan di seluruh AS dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut jabatan pertanian.
Agensi itu juga melaporkan, harga telur meningkat lebih lapan peratus hanya dalam bulan Disember.
Data menunjukkan harga purata bagi satu bekas telur ialah AS$2.51 (RM11.10) pada Disember 2023 namun kini melonjak kepada AS$4.15 (RM18.40).
Di beberapa lokasi di beberapa bahagian Massachusetts, pelanggan diminta untuk mengehadkan pembelian telur mereka kepada dua karton bagi setiap keluarga.
Rak telur yang kosong di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit turut mencetus kemarahan pengguna.


































