Wad hospital khas disediakan untuk pesakit GBS di bandar Pune.
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan maut di Maharashtra selepas kawasan di barat India itu bergelut dengan wabak penyakit saraf dipanggil Sindrom Guillain-Barre (GBS) yang menyebabkan masalah lumpuh.
Menurut Utusan Malaysia, bilangan kes GBS meningkat kepada kira-kira 163, dengan kebanyakannya dilaporkan di sekitar bandar Pune, hab teknologi maklumat yang terletak kira-kira 180 kilometer (km) dari Mumbai.
Menurut kerajaan negeri, sekurang-kurangnya 21 pesakit terpaksa bergantung kepada sokongan ventilator dan 48 lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat wabak itu.
GBS adalah penyakit saraf yang menjejaskan deria, pergerakan, pernafasan dan degupan jantung pada manusia di mana sistem imun badan menyerang saraf hingga boleh menyebabkan masalah lumpuh dan kematian.
Gejala bermula dengan rasa kesemutan, kebas pada kaki dan tangan diikuti dengan kelemahan otot dan kesukaran menggerakkan sendi.
“Kira-kira 90 peratus daripada kes yang disyaki adalah dalam kumpulan umur bawah 59 tahun, manakala jumlah kes tertinggi dilaporkan dalam kumpulan umur 20 hingga 29 tahun,” lapor akhbar The Hindu.
Menteri Kesihatan negeri, Prakash Abitkar berkata, wabak di bandar Pune dikesan akibat penyebaran patogen dipanggil campylobacter jejuni yang berkemungkinan besar datang dari sumber air tercemar.
“Air saliran bercampur dengan saluran air minuman yang dibina bersebelahan di beberapa kawasan yang terjejas di Pune, mencetus pencemaran dan menyebabkan peningkatan mendadak kes GBS,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di Pune untuk mengesan dan menguji kes yang disyaki dan memantau laporan susulan kes yang disahkan.


































