PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan kepada 5,747 orang berbanding 6,160 malam tadi yang menandakan keadaan semakin pulih.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sebanyak 32 PPS masih lagi aktif setakat ini.
Katanya, di Bintulu jumlah mangsa di tujuh PPS menurun kepada 1,966 orang berbanding 2,429 sebelum ini manakala di Bahagian Miri jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 1,404 orang berbanding 1,390 malam tadi ditempatkan di 10 PPS.
“Bahagian Sibu juga merekodkan peningkatan mangsa kepada 848 orang di lima PPS berbanding 828 sebelum ini manakala jumlah mangsa di Bahagian Serian kekal 792 orang berlindung di dua PPS.
“Jumlah mangsa di Bahagian Samarahan menurun kepada 294 orang berbanding 426 di tiga PPS dan di Bahagian Mukah jumlah mangsa meningkat kepada 443 orang daripada 313 mangsa malam tadi dengan lima PPS beroperasi.
“Keseluruhannya, sebanyak 32 PPS masih beroperasi di Sarawak setakat pagi ini berikutan pembukaan sebuah PPS di Mukah dan penutupan sebuah lagi di Miri,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam pada itu mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah, hari ini.
Sementara itu, di Sabah jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 40 keluarga setakat 8 pagi tadi dengan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan Kinabatangan satu-satunya daerah masih dilanda banjir.
Jawatankuasa itu memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau menempatkan 36 orang daripada 13 keluarga manakala PPS SK Bukit Garam menempatkan 27 keluarga melibatkan 101 orang.


































