Hajiji bersama tetamu kenamaan lain Pesta Tarian Naga, Singa dan Unicorn Tahun Baharu Cina serta Pameran Kampung Budaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Sabah kekal terpelihara, sekali gus tidak mahu ada elemen-elemen luar dari seberang datang untuk meracuni pemikiran dan budaya rakyat negeri ini, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, rakyat Sabah yang mempunyai lebih 30 etnik hidup dalam keadaan harmoni sejak sekian lama walau pun berbeza latar belakang agama dan bangsa.
“Namun, istimewanya kita, menerusi budaya kita terus bersatu dan ini perlu dipupuk untuk generasi akan datang. Oleh itu, saya tidak mahu elemen-elemen dari seberang datang ke negeri ini untuk meracuni pemikiran rakyat Sabah.
“Kita menghormati kebudayaan semua kaum sebab itu Kerajaan Negeri turut menganjurkan perayaan-perayaan besar di negeri ini seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina di peringkat negeri,” katanya ketika merasmikan Pesta Tarian Naga, Singa dan Unicorn Tahun Baharu Cina serta Pameran Kampung Budaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, inilah keistimewaan negeri Sabah kerana apa juga perayaan yang dianjurkan, ia mendapat sambutan hebat daripada rakyat berbilang kaum.
“Sebab itu, saya amat menghargai jemputan ke majlis ini dan tahniah kepada penganjur iaitu Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK).
“Kita harus menjaga perayaan seperti ini untuk anak-anak kita kerana dengan kepelbagaian inilah akan memantapkan lagi keharmonian di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan pastikan semua budaya dan perayaan
dihormati termasuk memberi peruntukan kepada rakyat di negeri ini.
“Usaha ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri menghormati sambutan semua perayaan yang ada di negeri ini, termasuk Tahun Baharu Cina,” katanya.
Ketua Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan penganjuran majlis berkenaan yang bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Tionghua malah turut dihadiri masyarakat berbilang kaum yabg
ada di negeri ini.


































