Donald Trump
WASHINGTON: Mahkamah menetapkan 10 Januari sebagai tarikh hukuman kes Donald Trump melibatkan bayaran wang sogokan kepada seorang pelakon lucah, Stormy Daniels.
Menurut Utusan Malaysia, tarikh jatuh hukum itu dijadualkan 10 hari sebelum Trump mengangkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, mahkamah dijangka tidak akan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Trump.
Hakim New York, Juan Merchan berkata, Trump perlu hadir secara fizikal atau maya untuk pendengaran pada tarikh berkenaan.
Dalam keputusan setebal 18 muka surat, Merchan mengekalkan sabitan Trump oleh juri New York, sekali gus menolak pelbagai usul daripada peguamnya yang berusaha membatalkan keputusan tersebut.
Hakim berkata, beliau cenderung untuk memberikan pelepasan tanpa syarat, namun hukuman itu masih menjadikan Trump sebagai seorang yang bakal disabitkan kesalahan jenayah.
Trump, 78, boleh dipenjara hingga empat tahun, namun pakar undang-undang tidak menjangkakan Merchan akan menghantar presiden terpilih itu ke penjara, walaupun sebelum kemenangannya pada November lalu.
“Pada peringkat ini, wajar untuk memaklumkan kecenderungan mahkamah ialah tidak mengenakan sebarang hukuman penjara,” kata Merchan.
Beliau turut menegaskan, pendakwa raya juga tidak menganggap hukuman penjara sebagai cadangan yang praktikal.
Trump disabitkan di New York pada Mei atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup bayaran sogokan kepada Daniels, pada malam sebelum pilihan raya 2016 untuk menghalangnya daripada mendedahkan dakwaan hubungan sulit pada 2006.
Peguam Trump cuba membatalkan kes itu atas pelbagai alasan, termasuk keputusan penting Mahkamah Agung tahun lalu yang memberikan bekas presiden AS kekebalan daripada pendakwaan bagi pelbagai tindakan rasmi yang dilakukan semasa dalam jawatan.
Merchan menolak hujah terbabit tetapi menyatakan Trump akan mempunyai kekebalan daripada pendakwaan apabila beliau mengangkat sumpah sebagai presiden.


































