SEOUL: Insiden pesawat Jeju Air yang tergelincir hingga mengorbankan 179 nyawa disifatkan sebagai nahas udara terburuk di Korea Selatan.
Pesawat membawa 175 penumpang dan enam kru itu dilaporkan tergelincir dari landasan dan merempuh tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di barat daya negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, ratusan keluarga yang berkumpul di lapangan terbang tersebut menangis dan berpelukan selepas pihak bomba mengumumkan nama-nama mangsa yang maut.
Beberapa saudara dilihat menjerit kepada pegawai, berulang kali menuntut lebih banyak maklumat diberikan kepada waris.
Menurut pihak bomba, kemalangan itu berpunca daripada kerosakan gear pendaratan yang mungkin disebabkan oleh serangan burung dan cuaca buruk.
Namun kementerian pengangkutan berkata, siasatan terperinci mengenai punca sebenar nahas itu mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun memandang pesawat itu dihasilkan di luar negara.
“Pesawat Boeing 737-800 yang terbang dari Bangkok itu diberi amaran mengenai serangan burung oleh menara kawalan semasa percubaan pertamanya mendarat sejurus selepas pukul 9:03 pagi (waktu tempatan).
“Beberapa minit kemudian juruterbang mengeluarkan amaran ‘mayday’ tetapi, ia cuba mendarat semula tanpa gear pendaratannya diaktifkan.
“Menara kawalan mengarahkan pesawat mendarat ke arah bertentangan di landasan 19. Juruterbang mengikut arahan tetapi pesawat itu melanggar peralatan navigasi di atas tanah sebelum merempuh tembok penghadang,” kata pegawai bomba.
Pemangku Presiden, Choi Sang Mok dilaporkan mengisytiharkan zon bencana khas di Muan ekoran insiden itu.
Pengisytiharan itu akan membantu mewujudkan pembiayaan kerajaan pusat untuk kerajaan tempatan dan mangsa.
“Saya percaya tiada kata-kata yang dapat menghilangkan kedukaan keluarga mangsa yang berdepan tragedi malang ini.
“Seluruh kerajaan akan bekerjasama rapat untuk menguruskan kesan kemalangan ini, mendedikasikan semua sumber yang ada sambil berusaha sedaya upaya untuk memastikan sokongan menyeluruh untuk waris mangsa,” tambahnya.
Penyiasat kebakaran berkata, pesawat itu hancur akibat letupan sehingga amat sukar untuk dikenal pasti.
“Di tepi pagar, serpihan kecil pesawat telah dikumpulkan menjadi longgokan. Pegawai forensik sedang meneroka keseluruhan padang berhampiran untuk mencari mayat sebelum matahari terbenam,” katanya.
Menurut seorang pegawai dari Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (Molit) Korea Selatan (Molit), alat perakam penerbangan dan kotak hitam pesawat itu sudah ditemui.
Dua kru penerbangan wanita yang diselamatkan sejurus selepas kejadian sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.
,































