Tuntutan kumpulan Sulu tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja dan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan tersebut.- Media Sosial
Mahkamah Agung Perancis pada 7 November lalu telah menolak sepenuhnya tuntutan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, namun apa langkah seterusnya untuk kedua-dua belah pihak?
Menurut Utusan Malaysia, keputusan mahkamah itu bermakna cubaan untuk menuntut Malaysia supaya membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
Yang tinggal ialah keputusan untuk membatalkan award Akhir yang dikeluarkan oleh Gonzalo Stampa atas tuntutan tersebut di Mahkamah Rayuan Paris dalam masa terdekat.
Adakah kumpulan itu akan meneruskan tuntutan di negara lain setelah melakukannya di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda? Adakah kita perlu terus melayan tuntutan mereka. Tidak ada cara lainkah untuk menghalang mereka daripada terus melakukan tuntutan serta-merta?
“Kita tidak boleh biarkan sahaja tuntutan mereka,” kata Datuk Almalena Sharmila Johan, Ketua War Room Sekretariat Khas Sulu ketika muncul dalam siar pod (podcast) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said, baru-baru ini.
“Kita kena lawan, kalau kita biar, dia akan terus buat tuntutan sebab adanya Konvensyen New York. Negara dalam konvensyen ini kena iktiraf award yang diberikan di negara lain, kecuali kalau boleh menunjukkan fakta-fakta.
“Kita dalam konvensyen ini, kita telah membuat persetujuan, bahawa kalau apa-apa keputusan timbang tara, award itu Malaysia akan iktiraf, itu sebabnya mereka tahu bahawa kalau mereka saman di Malaysia, kemungkinan kerajaan boleh menang.
“Jadi, dia menggunakan proses timbang tara antarabangsa supaya dia tahu yang kita sebahagian daripada konvensyen ini, kita kena laksanakan dan kita lihat negara-negara yang dia pergi adalah negara-negara Eropah seperti Perancis dan Belanda.” Strategi mereka, katanya, mereka ingin melihat sekiranya mereka berupaya untuk mendapatkan award akhir yang diiktiraf di negara-negara dalam Konvensyen New York.
Danesh Chandran, Timbalan Ketua War Room Sekretariat Khas Sulu menjelaskan, salah satu cara untuk menyelesaikan pertikaian melibatkan konvensyen New York adalah melalui alternative dispute resolution ataupun ADR, yang menyelesaikan pertikaian-pertikaian bersifat komersial.
“Objektif utama timbang tara, supaya dia tidak perlu masuk mahkamah sebab mahkamah kadang-kadang makan masa dan kos terlampau tinggi. Jadi, dia pergi kepada mahkamah timbang tara sebab ia lebih mudah dan lebih pantas.
Dalam ADR, syarat utamanya kedua-dua pihak perlu mencapai persetujuan, terutama dalam pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara. Malaysia tidak bersetuju dan membantah pelantikan tersebut. Mahkamah Sepanyol akhirnya memutuskan bahawa pelantikan timbang tara itu null and void atau tidak sah.
“Dalam sistem prosedur pun mereka menipu,” kata Danesh. “Mereka tidak membuat cara betul, mempunyai pendekatan niat jahat dan licik sebab timbang tara selalunya dua-dua kena setuju. Tiba-tiba dalam kes ini, Malaysia terikat kepada penimbang tara, terikat pada mahkamah. Sepatutnya perbincangan perlu ada dulu kalau kita bersetuju.”
Disebabkan itu katanya, kes ini adalah satu penyalahgunaan sistem timbang tara. “Dia telah menyalahgunakan sistem yang sedia ada. Dia menyalahgunakan proses timbang tara yang sah dan betul untuk kepentingan pihaknya.”
“Mereka bukan pandai tapi licik dan berniat jahat dan ada dalang-dalang tertentu, mala fide dan di belakang mereka ada sokongan satu syarikat besar yang menyebabkan mereka berani.”
MALAYSIA TERUS JADI SASARAN
Kata Azalina, pihak yang membiaya segala tuntutan Sulu tampil di kedutaan Malaysia di luar negara untuk membuat pengiraan terhadap tuntutan yang akan diperoleh jika mengambil alih bangunan kedutaan tersebut, seolah-olah sudah menjadi hak mereka.
“Bila saya jadi menteri, mereka sudah hantar beberapa orang untuk membuat kiraan di harta kedutaan Malaysia di Perancis, sebab mereka nak lelong.
“Kononnya itu adalah hak mereka supaya mereka boleh menuntut anugerah ataupun award yang telah dikeluarkan secara tidak sah RM15 bilion.
“Saya tidak yakin hanya satu bangunan kedutaan, mesti banyak lagi perniagaan Malaysia di antarabangsa akan menjadi sasaran mereka.
“Dalam pemikiran saya, mereka akan cari mungkin harta Khazanah, harta Petronas, semua harta-harta di bawah kerajaan Malaysia, mereka akan membuatkan gerakan atas alasan adanya award,” katanya.
MENGAPA MALAYSIA JADI SASARAN?
Azalina menyifatkan, salah satu punca mengapa kumpulan Sulu lebih berani membuat tuntutan berbanding sebelum ini ialah kerana ketidakstabilan politik negara.
“Saya tahu pada tahun 2018 sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita bertukar sehingga tiga perdana menteri,” kata Azalina. “Kestabilan politik tidak ada dan saya membuat membuat konklusi bahawa kestabilan politik salah satu daripada punca keberanian mereka.
“Sebab mereka tahu bahawa kita tengah tergugat, bertukar-tukar menteri luar. Bertukar-tukar menteri undang-undang, bertukar-tukar Peguam Negara. Mereka mengambil kesempatan kalau mereka boleh hit and run. Mungkin dia tak nak AS$15 billion tapi nak AS$1.5 juta billion.”
ADA TUNTUTAN LAGI?
Almalena berkata, selepas beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada Malaysia, tidak seharusnya ada lagi tuntutan daripada kumpulan Sulu tersebut.
“Sebab duit tuntutan mereka itu datang daripada pihak ketiga. Kalau dia tidak boleh dapat duit dia balik dari segi pelaburan dan dia pergi kepada satu kes yang mana sudah tidak ada jalan kepada kes itu, kemungkinan itu kurang. Nak guna cara apa lagi sebab dia sudah tidak boleh guna lagi perjanjian 1878 itu,” katanya.
Danesh menyifatkan, tuntutan kumpulan Sulu tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja dan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan tersebut.
“Kita perlu mendapatkan semula apa yang telah kita belanjakan selama ini sehingga sekarang. Dengan keputusan yang telah kita peroleh, perkara ini will be put to rest. Kes ini perlu perlu ditamatkan riwayatnya.
“Semua bidang kuasa yang menghormati proses timbang tara yang betul tidak seharusnya melayan satu kes yang remeh temeh macam ini dan juga satu kes yang telah dimulakan dengan niat jahat dengan begitu banyak penyalahgunaan proses sepanjang proses ini.”


































