BEIJING: Salah satu bandar terbesar di China masih berdepan musim panas walaupun sudah pertengahan November, berikutan paras suhu yang tidak menurun untuk menandakan perubahan musim.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan meteorologi tempatan memaklumkan, Guangzhou, sebuah bandar panas dan lembab dengan hampir 19 juta penduduk di wilayah Guangdong, selatan China, memecahkan rekod haba selama tiga dekad.
Setakat Rabu lalu, bandar tersebut mengalami 235 hari musim panas, mengatasi musim 234 hari pada tahun 1994.
Perkhidmatan meteorologi Guangdong mengaitkan perubahan musim dengan suhu, bukan tarikh dalam kalendar.
Musim luruh dianggap bermula apabila purata suhu lima hari turun di bawah 22 darjah Celsius.
Ia biasanyanya bermula sekitar 9 November, tetapi suhu dijangka kekal pada paras musim panas sekurang-kurangnya hingga 18 November, menurut kenyataan diterbitkan di akaun WeChat kerajaan wilayah itu.
Tahun ini, musim panas bermula pada 23 Mac.
Kejadian cuaca ekstrem semakin kerap berlaku di seluruh China dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemarau, banjir dan gelombang haba memberi tekanan kepada infrastruktur, terutama grid elektrik.
Pada 2022, gelombang haba berlarutan mendorong penggunaan elektrik ke paras rekod di bandar-bandar seluruh China, termasuk Guangzhou, apabila orang ramai dan perniagaan menggunakan penghawa dingin pada tahap maksimum untuk kekal sejuk.
Ia mencetuskan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran.


































