Dr. Christoper Mandut
PENAMPANG: Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini sebulat suara meluluskan usul penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) Dalam Kerajaan Malaysia.
Usul dibawakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda, Dr. Christoper Mandut (gambar) ini merupakan antara tiga usul yang diluluskan pada Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Sabah ke-39 yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini.
Dr. Christoper berkata, dengan mencadangkan penubuhan UNIFOR, PBS membayangkan Sabah yang lebih bersatu padu, yang menghargai dan menyokong komuniti yang pelbagai.
“Oleh itu, kita menggesa Kerajaan Negeri Sabah untuk mengiktiraf kepentingan unit ini dan berkomitmen untuk melindungi hak dan kebajikan semua rakyatnya.

Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan) mendengar ucapan perbahasan bagi Usul yang telah diluluskan oleh Perwakilan PBS.
“Melalui UNIFOR, kita boleh membina sebuah negeri di mana keharmonian dan kesaksamaan agama terpelihara demi memperkukuhkan legasi Sabah sebagai negeri yang inklusif dan bersatu.
“Biarlah Kongres ini menjadi detik penting dalam perjalanan kita untuk memastikan masa depan di mana semua rakyat Sabah adalah setara, hak mereka dihormati, dan agama mereka dihargai,” jelasnya.
Usul kedua berkenaan pendirian tegas hak tidak boleh runding ke atas Pelantar Benua dan penolakan Akta Laut Wilayah 2021 sebagai ultra vires, dibawakan oleh Exco Wanita, Raihanah Rosnie Deding Abdullah.
Raihanah berkata, Akta Laut Wilayah 2012 adalah satu pelanggaran ke atas hak dan kedaulatan Sabah terhadap perairan wilayah dan pelantar benua.
“Usul ini menegaskan pendirian kami bahawa hak ke atas pelantar benua adalah hak yang tidak boleh dipertikaikan atau dikompromi.
“Kami menyeru semua pihak untuk menghormati tuntutan sejarah Sabah, peruntukan perlembagaan, dan hak autonomi sumber negeri ini, demi memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam semangat Persekutuan Malaysia.
“Marilah kita bersama-sama teruskan perjuangan untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah,” ujarnya.
Usul ketiga berkenaan pelaksanaan segera peruntukan Kerusi Parlimen Satu Pertiga (1/3) kepada Wilayah Sabah dan Sarawak, yang dibawa oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Hendrus Anding.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan agar hak ini
dihormati dan dituntut menerusi usaha-usaha yang jelas.
“PBS menggesa agar Kerajaan Negeri meneruskan usaha dan mengambil langkah yang tegas ke arah merealisasikan permintaan ini.
“Selain daripada suara Ahli-ahli Parlimen dari Sabah di Dewan Rakyat, kerjasama strategik dan perkongsian maklumat antara Sabah dan Sarawak juga dilihat amat penting dalam perkara ini.
“PBS menyokong apa sahaja usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri demi memulihkan hak yang terhakis ini,” katanya, berharap para ahli dan penyokong parti tidak merasa lelah atau jemu untuk menyokong perjuangan PBS kerana sesungguhnya perjuangan ini masih belum selesai.


































