Sukarelawan membantu penduduk yang terperangkap di kawasan banjir di daerah Naga di Filipina.
MANILA: Anggota penyelamat Filipina bergelut menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka selepas Ribut Tropika Trami menenggelamkan bandar di selatan ibu kota, mengorbankan sekurang-kurangnya 66 nyawa.
Menurut Utusan Malaysia, puluhan ribu penduduk terjejas selepas melarikan diri daripada banjir besar berikutan jumlah hujan bersamaan dua bulan yang turun dalam hanya dua hari di beberapa kawasan.
Ketua Polis Wilayah Bicol, Andre Dizon berkata, ramai penduduk yang masih terperangkap di atas bumbung rumah dan meminta bantuan.
“Kami berharap banjir akan surut kerana hujan telah berhenti. Kekurangan bot getah adalah cabaran terbesar kami,” katanya.
Ketika Trami meninggalkan Filipina pada awal pagi semalam dan bergerak ke arah barat merentasi Laut China Selatan, jumlah kematian meningkat apabila lebih banyak laporan mengenai mangsa diterima.
Di wilayah Batangas di selatan Manila, jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 34 orang.
Lima orang lagi terbunuh dalam banjir kilat di perkampungan pantai Subic Ilaya.
Polis di wilayah Bicol turut melaporkan sebanyak 28 kematian,dengan dua lagi mayat sebelum ini ditemui di wilayah Quezon.
Lapor media tempatan, banyak kawasan di wilayah itu masih tidak dapat diakses kerana banyak jalan yang dinaiki air dan risiko tanah runtuh di beberapa kawasan.
Menurut Kopral Polis, Alvin de Leon, lima lagi mangsa dilaporkan maut dalam banjir kilat di perkampungan pesisir pantai.
“Kami melihat mesin basuh, kereta, peralatan rumah, bumbung dihanyutkan. Kami bernasib baik hujan di kawasan kami berlaku pada waktu pagi.
“Pasti ramai lagi yang maut jika ia berlaku pada waktu malam. Tidak dapat digambarkan betapa takutnya kami, ” kata penduduk bandar Laurel, Mimie Dionela, 56, kepada AFP.
































