META mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna untuk langganan tanpa iklan daripada laman Facebook dan Instagram di benua Eropah.
NEW YORK: Syarikat induk Facebook, Meta Platforms Inc. akan mula menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi membanteras penipuan menggunakan gambar selebriti dipanggil ‘celeb-bait scam’.
Menurut Utusan Malaysia, penipu menggunakan imej individu terkenal untuk menarik pengguna menekan pada iklan yang membawa mereka ke tapak web direka untuk mencuri maklumat peribadi atau meminta wang.
Meta akan mula menggunakan teknologi itu untuk menghapuskan iklan sedemikian dengan membandingkan imej dalam siaran dan wajah mereka dari akaun Facebook atau Instagram selebriti tersebut.
“Jika kami mengesahkan padanan dan iklan itu adalah penipuan, kami akan menyekatnya,” tulis Meta dalam catatan blog.
Dengan hampir 3.3 bilion pengguna aktif harian merentas semua aplikasinya, Meta kini bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk menguatkuasakan banyak peraturan dan garis panduan kandungannya.
Meta berkata ia juga akan mula menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk membantu pengguna yang secara tidak sengaja log keluar dan tidak dapat mengakses akaun mereka.
Sebagai sebahagian daripada ujian terbaharu, sesetengah pengguna boleh menyerahkan video swafoto apabila gagal memasuki akaun mereka.
Meta kemudian akan membandingkan video tersebut dengan foto pada akaun untuk melihat sama ada terdapat padanan.
Meta sebelum ini meminta pengguna menyerahkan bentuk pengesahan identiti lain, seperti kad ID atau sijil rasmi, tetapi memaklumkan pilihan terbaharu itu hanya akan mengambil masa seminit untuk diselesaikan.
“Meta akan memadamkan serta-merta sebarang data muka yang dijana selepas perbandingan ini tanpa mengira sama ada terdapat padanan atau tidak,” jelas syarikat itu.


































