Papan tanda di Lapangan Terbang Dunedin memaparkan had masa untuk orang ramai berpelukan di zon penghantaran.
MOMONA: Sebuah lapangan terbang di New Zealand memperkenalkan peraturan baharu yang menetapkan had masa tertentu kepada pengunjung dan penumpang untuk ‘sesi perpisahan’ di zon penghantaran.
Menurut Utusan Malaysia, papan tanda di Lapangan Terbang Dunedin di Momona mencetuskan perdebatan di seluruh dunia selepas ia mengenakan had masa tiga minit untuk memeluk orang tersayang mereka sebelum berlepas.
Lapangan terbang itu juga menyarankan agar mereka yang berhasrat mengambil masa lebih lama untuk mengucapkan selamat tinggal supaya menggunakan tempat letak kereta.
Ketetapan itu menimbulkan pertikaian di media sosial dengan orang ramai mengecam peraturan had masa tersebut dan menganggapnya tidak berperikemanusiaan.
Bagaimanapun, sebahagian mereka juga berpendapat bahawa polisi itu adalah idea yang baik dan wajar diaplikasikan di lapangan terbang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lapangan Terbang Dunedin, Daniel De Bono berkata, pihaknya menyedari kegusaran orang ramai berkaitan ketetapan had masa itu.
“Lapangan terbang adalah tempat penuh emosi dan merujuk kepada satu kajian mencadangkan berpelukan selama 20 saat sudah mencukupi untuk menghasilkan oksitosin iaitu hormon cinta.
“Dengan mempercepatkan proses penghantaran sebenarnya membolehkan lebih ramai pengunjung mendapatkan lebih banyak pelukan,” katanya.

































