Tangkap layar rakaman video memaparkan seorang lelaki yang cuba menahan seorang penunggang motosikal wanita yang didakwa menyamun namun polis kemudian mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu sebaliknya hanya salah faham.
KUALA PILAH: Polis menafikan video tular membabitkan dakwaan seorang wanita yang dikaitkan menyamun di sebuah kedai runcit di pekan Kuala Pilah, di sini, sejak kelmarin merupakan kejadian jenayah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, sebaliknya hasil siasatan mendapati adalah disebabkan salah faham wang hasil jualan kedai.
Menurutnya, terdahulu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita pada Jumaat lalu kira-kira pukul 6 petang.
“Laporan berkenaan berkaitan perselisihan faham dengan seorang pelanggan wanita di kedai runcit miliknya susulan isu kehilangan wang hasil jualan kedainya.
“Siasatan lanjut yang dijalankan di tempat kejadian mendapati bahawa tiada keterangan bagi mengaitkan tentang kehilangan wang tersebut dengan unsur jenayah dan mendapati ia hanya salah faham sahaja,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amran lagi, kedua-dua pihak telah dipanggil untuk memberi keterangan dan hasil perbincangan antara kedua-duanya menyatakan bahawa salah faham telah berlaku dan mereka telah bermaaf-maafan antara satu sama lain.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan tentang sesuatu kejadian dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum memuat naik gambar mahupun video di laman sosial.
“Ia bagi mengelakkan masyarakat mendapat maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan kegusaran,” katanya.


































