Donald Trump
WASHINGTON: Calon Republikan, Donald Trump berjanji untuk menambah 10,000 ejen peronda sempadan jika dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), November ini.
Menurut Utusan Malaysia, Trump berkata, beliau akan meminta Kongres AS membiayai kenaikan gaji 10 peratus untuk ejen peronda sempadan serta bonus pengekalan dan pengambilan sebanyak AS$10,000 (RM42,905).
Bekas Presiden AS itu berkata demikian semasa perhimpunan di Arizona, negeri sempadan yang menjadi medan pertempuran pilihan raya.
“Ini akan memastikan kita dapat mengambil dan mengekalkan ejen Peronda Sempadan yang diperlukan,” katanya ketika dikelilingi oleh pemimpin kesatuan Ejen Peronda Sempadan.
Trump kini terikat dalam persaingan sengit dengan Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris menjelang pilihan raya, 5 November depan.
Kemasukan pendatang haram adalah kebimbangan utama pengundi dan tinjauan pendapat menunjukkan majoriti pengundi melihat Trump sebagai individu yang paling mampu menangani isu itu.
Awal tahun ini, Trump membantu menggagalkan rang undang-undang keselamatan sempadan dwipartisan, yang akan membiayai pengambilan 1,500 ejen kastam dan kawalan sempadan serta tambahan 1,600 pegawai suaka.
Setakat ini, terdapat kira-kira 20,000 pegawai peronda sempadan AS.
Harris dan Presiden AS, Joe Biden mengkritik Trump kerana menekan ahli Republikan di Kongres untuk menggagalkan rang undang-undang keselamatan sempadan, menuduhnya mensabotaj usaha tersebut demi kepentingan politik.
Sepanjang pentadbiran Biden, kira-kira tujuh juta pendatang ditangkap menyeberangi sempadan AS-Mexico secara haram, menurut data kerajaan.
Ia merupakan jumlah rekod tertinggi yang mencetuskan kritikan daripada Trump serta anggota Republikan terhadap Biden dan Harris.






























