Donald Trump dan Kamala Harris
WASHINGTON: Pakar meramalkan jalan pintas menuju ke White House adalah melalui Pennsylvania, negeri tumpuan di antara peta medan perang pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung bulan depan.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis pilihan raya, Nate Silver berkata, calon yang berjaya menawan Pennsylvania mempunyai lebih 90 peratus peluang kemenangan untuk menduduki White House.
“Ia adalah lokasi tumpuan utama atau ibu kepada semua negeri ‘swing state’ yang bakal menyaksikan saingan sengit Demokrat dan Republikan,” kata bekas anggota Kongres, Patrick Murphy, yang mewakili Demokrat dari 2007 hingga 2011.
KUNCI KE WHITE HOUSE
Dengan 19 undi pemilih, Pennsylvania yang merupakan negeri kelima paling ramai penduduknya di AS menjadi peneraju kepada pertembungan pilihan raya negeri-negeri untuk kedua-dua calon, Kamala Harris dan Donald Trump.
Ramalan Silver, jika Demokrat memenangi Pennsylvania, Wisconsin dan Michigan bersama dengan satu daerah kongres di Nebraska, Harris adalah Presiden seterusnya.
Tetapi jika Republikan berjaya menawan Pennsylvania, North Carolina dan Georgia, Trump bakal kembali ke White House tahun depan.
Pennsylvania bukan sahaja negeri penentu yang paling berharga, tetapi lokasinya yang strategik juga dilihat sebagai mikrokosmos AS secara keseluruhan dari segi demografi, ekonomi dan politik.
Negeri pembuatan yang sudah beralih kepada industri dan perniagaan baharu itu juga mempunyai sektor tenaga yang besar kerana deposit minyaknya yang banyak.
Pertanian masih merupakan industri kedua terbesar di negeri ini.
Majoriti penduduk berkulit putih, tetapi terdapat komuniti pendatang yang semakin meningkat.
Sesetengah kawasan, seperti Allentown kini mempunyai majoriti Hispanik sementara penduduk kulit hitam di negeri itu sekitar 12 peratus, kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan di AS sebanyak 13 peratus.
Bagi politik, dua kawasan bandar besar di negeri itu, Philadelphia dan Pittsburgh sangat memihak kepada Demokrat.
Di antara kedua-duanya adalah kawasan luar bandar yang luas di mana Republikan mendominasi dan kawasan pinggir bandar yang dahulunya konservatif kini condong ke haluan kiri.
Entah bagaimana, semua arus silang politik dan dinamik yang berubah-ubah itu mengekalkan Pennsylvania pada keseimbangan yang hampir 50-50 dalam pilihan raya presiden.
Biden memenangi negeri itu dengan kira-kira 80,000 undi pada 2020 sementara Trump membawa kira-kira 40,000 undi dalam kemenangan mengejutnya pada 2016 ke atas Hillary Clinton.
Undian semasa meletakkan perlumbaan antara Harris dan Trump di negeri itu pada saingan yang sangat rapat.
Menurut penjejak tinjauan pendapat 538/ABC News, Harris mendahului kurang satu peratus, margin yang hampir tidak berubah sepanjang tahun politik yang penuh kemelut ini.
DANA KEMPEN TERBESAR
Kedua-dua kempen Harris dan Trump mencurahkan dana kempen yang sangat besar ke Pennsylvania.
Mereka membelanjakan lebih banyak untuk pengiklanan televisyen di sana daripada mana-mana negeri swing state lain dengan kedua-dua calon kerap membuat lawatan berkala.
Harris memperkenalkan pilihan pasangan Timbalan Presidennya, Tim Walz, pada perhimpunan di Philadelphia dan menghabiskan masa berhari-hari untuk mempersiapkan debat Presidennya di Pittsburgh termasuk membuat ucapan ekonomi di sana dua minggu lalu.
Sabtu lalu, Trump mengadakan perhimpunan besar-besaran di Butler, lokasi di mana beliau hampir dibunuh, pada Julai lalu.
Pada Rabu Trump turut dilihat berada di kampung halaman Biden di Scranton dan Reading.
Bagi Harris, kunci kemenangannya adalah mencatatkan dominasi di Philadelphia dan Pittsburgh selain memenangi pinggir bandar dengan undian yang cukup untuk mengimbangi margin Trump di seluruh negeri.
Bahagian penting dalam strategi ini adalah untuk memenangi pengundi sederhana dan beberapa penyokong Republikan termasuk lebih 160,000 orang yang keluar mengundi untuk bekas Gabenor Carolina Selatan, Nikki Haley dalam pemilihan utama Republikan negeri itu.
Strategi Trump pula adalah menarik semua sokongan dari bahagian konservatif negeri itu, termasuk dengan mendaftar dan menggerakkan mereka yang mungkin tidak menyertai pilihan raya lalu.





























