Ng Tze Yong kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
KUALA LUMPUR: Sempat atau tidak Ng Tze Yong membuat penampilan pada Terbuka Malaysia, Januari ini, masih belum diketahui tetapi pemain badminton perseorangan negara itu sudahpun memulakan latihan bagi menguatkan kembali ototnya.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sendiri tidak dapat mengesahkan jangka waktu yang tepat Tze Yong boleh kembali bertanding dan cuma memberi jaminan anak muda itu kini berada dalam keadaan baik.
“Perkembangan Tze Yong cukup positif, dua hari lepas, dia memaklumkan ada cyst yang masih tumbuh, tetapi tiada yang mengganggu.
“Kita cuma tidak mahu bengkak itu akan menjejaskan saraf dia, buat masa ini, keadaan Tze Yong semakin membaik dan dia harus kuatkan kakinya bagi mengurangkan beban di belakang (tubuh),” katanya ketika ditemui pemberita di ABM, kelmarin.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini disahkan mengalami sakit tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.
Ekoran kecederaan tersebut, Tze Yong terpaksa menjalani pembedahan dan berehat panjang daripada sukan badminton. Dia dijangka kembali beraksi, awal tahun depan.
Menurut Rexy, Tze Yong kini lebih banyak menghabiskan masanya di gimnasium dan kelihatannya hari demi hari pemain itu semakin menunjukkan peningkatan yang baik.

































