Belanjawan 2025 dijangka memberi penekanan pada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.- Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan pelbagai insentif dan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dalam Belanjawan 2025 minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ini bagi memastikan isi rumah untuk berbelanja dan merangsang ekonomi negara.
“Kerajaan dijangka akan cuba memperbaiki dan tidak menyentuh banyak perkara disebabkan ekonomi sedang tumbuh dengan baik.
“Kerajaan juga dijangka tidak akan memperkenal cukai baharu kerana dilihat akan membebankan pengguna dan pelabur tapi mereka (kerajaan) akan cuba menambah pelbagai insentif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, terdapat peningkatan ekonomi dan seharusnya volum perniagaan bertambah, namun dilihat semakin mencabar ketika ini.
“Hal ini kerana, perbelanjaan pengguna persendirian isi rumah tidak meningkat walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat.
“Perkara itu disebabkan isi rumah di Malaysia masih memikirkan apa yang mereka akan peroleh melalui pertumbuhan yang pesat di Malaysia. Mereka tidak nampak apa-apa perubahan, mereka agak ragu-ragu dan takut hendak berbelanja,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Taha Mohd. Omar berkata, Belanjawan 2025 boleh memperkenalkan skim pembiayaan tanpa faedah untuk usahawan muda dan insentif ini seharusnya lebih besar berbanding tahun lalu.
“Pada 2024, kira-kira 10,000 usahawan belia menerima bantuan kewangan. Bagi tahun ini, jumlah penerima boleh dinaikkan sehingga 20 peratus bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang ini.
“Insentif khas kepada golongan belia dan usahawan muda bukan sahaja membantu mereka memulakan perniagaan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kebanyakan rakyat menjangkakan terdapat pengumuman insentif baharu yang menumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur digital dalam Belanjawan 2025.
“Dengan lebih 25 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan luar bandar, subsidi internet serta peningkatan infrastruktur komunikasi adalah langkah kritikal untuk mengurangkan jurang digital.
“Pada 2024, hanya dua peratus daripada peruntukan keseluruhan bajet disalurkan ke arah pembangunan digital ini.
“Oleh itu, untuk 2025, angka ini boleh ditingkatkan kepada empat peratus bagi menjamin akses yang lebih menyeluruh dan merata di seluruh negara,” katanya.
Taha berkata, Belanjawan 2025 berpotensi menjadi lonjakan besar ke arah ekonomi yang lebih lestari dan inklusif dengan cadangan peruntukan yang lebih besar kepada teknologi hijau, pembangunan kemahiran dan sokongan kepada usahawan muda.
“Jika kerajaan komited untuk melaksanakan insentif yang lebih besar dan menyeluruh, kita boleh menjangkakan transformasi ekonomi yang mampu memenuhi cabaran global dan memenuhi keperluan rakyat.
“Dengan penekanan kepada infrastruktur digital yang kukuh dan jurang yang dikurangkan antara bandar dan luar bandar, Malaysia akan berada dalam posisi yang lebih baik untuk berdaya saing di arena antarabangsa,” katanya.
Belanjawan 2025 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.


































