Warga emas berisiko berdepan situasi didera dalam pelbagai bentuk jika usaha menangani tidak dimulakan dari sekarang. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Jumlah warga emas yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian oleh orang yang mempunyai pertalian atau rapat dengan mangsa dijangka meningkat sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara efektif.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Penyelidikan Pendidikan dan Kesejahteraan Kewangan (FEWRC) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui laporannya mendapati seorang dari setiap 10 warga emas di Malaysia menjadi mangsa kepada fenomena penderaan dan pengabaian warga emas (EAN).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan EAN sebagai satu perbuatan yang berlaku sama ada secara sekali atau berulang termasuk tiada penjagaan sewajarnya sehingga menyebabkan kemudaratan atau tekanan kepada warga emas.
MENINGKAT
Jabatan Komunikasi Korporat AKPK berkata, pihaknya menjangkakan fenomena tersebut akan terus meningkat dengan pertambahan pesat populasi warga tua di Malaysia.
Jelasnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 iaitu 15 peratus dari populasinya akan berumur 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, terdapat lima jenis EAN yang berlaku iaitu penderaan kewangan, penderaan psikologi, penderaan fizikal, penderaan seksual, dan pengabaian.
“Pelaku lazimnya merupakan individu yang mempunyai pertalian atau rapat dengan mangsa, seperti pasangan, anak-anak, menantu, saudara mara dan jiran.
“Penderaan kewangan dalam kalangan warga emas perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia mempunyai tempoh hanya lima tahun dari sekarang untuk menangani masalah tersebut sebelum mencapai status negara tua pada tahun 2030.
“Pada ketika itu, jumlah warga emas yang menjadi sasaran akan menjadi jauh lebih besar berbanding hari ini,” katanya melalui satu jawapan bertulis kepada Utusan Malaysia.
KURANG DILAPOR
Mengulas lanjut, AKPK berkata, kes EAN masih kurang dilaporkan, maka banyak persoalan dibangkitkan mengenainya.
“Kebanyakan mangsa memilih untuk berdiam diri terutamanya kerana enggan membabitkan ahli keluarga (57 peratus). Selebihnya memilih untuk membisu kerana tidak dapat menerima hakikat (25 peratus), tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan (16 peratus) dan stigma masyarakat (dua peratus).
“Selain itu, faktor budaya juga memainkan peranan penting. Nilai murni seperti menghormati orang tua yang sering diamalkan oleh masyarakat Asia juga antara sebab mengapa kes EAN tidak dilaporkan kerana keutamaan atau kecenderungan menjaga maruah keluarga,” jelasnya.
Agensi tersebut berkata, warga emas di Malaysia lebih cenderung mengalami penderaan kewangan iaitu sehingga 4.8 peratus dan diikuti dengan penderaan psikologi (3.4 peratus).
“Tinjauan FEWRC mendapati bahawa mangsa yang mengalami penderaan kewangan lazimnya turut mengalami penderaan psikologi.
“Tinjauan yang dibuat di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan mendapati 59 peratus mangsa EAN mengalami penderaan kewangan dan 12.2 peratus pula mengalami kedua-dua bentuk penderaan iaitu dari segi kewangan dan juga psikologi,” katanya.
Tambahnya, terdapat beberapa profil yang berisiko menjadi mangsa EAN iaitu antaranya tinggal bersendirian, lelaki, berumur 70 tahun ke atas, berpendapatan rendah dan mempunyai tahap kesihatan yang tidak baik.
“Selain itu, mereka juga didapati mempunyai tahap pendidikan yang rendah, tiada masalah kognitif, mengalami kemurungan dan merasa tersisih,” katanya.


































