Keadaan mayat yang ditemukan rentung bersama mesin rumput di hadapan sebuah rumah berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Jejawi, Arau, Perlis.
ARAU: Isteri kepada seorang warga emas yang ditemukan rentung di halaman rumah di Kilometer 4, Jalan Besar, Jejawi di sini tidak menyedari suaminya sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu akibat disambar api daripada mesin potong rumput.
Mangsa berusia 75 tahun itu hanya tinggal berdua di kediaman berkenaan bersama isterinya berusia 77 tahun yang sedang uzur.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, warga emas berkenaan yang ditemukan rentung dipercayai berpunca akibat disambar api daripada mesin rumput yang terbakar.
Katanya, sewaktu kejadian, mangsa yang merupakan seorang pesara dipercayai sedang memotong rumput di halaman rumahnya bersendirian.
“Mangsa disyaki telah terbakar akibat terkena api yang menyambar tubuhnya. Jarak mayat ditemukan dengan mesin rumput yang terbakar hanya sekitar dua meter,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penemuan mayat rentung oleh orang awam sewaktu melalui kawasan itu yang kemudiannya melaporkan kepada polis sekitar pukul 6.33 petang, kelmarin.
Mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan terlentang dan badannya juga sudah mulai kembung.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, hasil temu bual menunjukkan isteri mangsa dalam keadaan uzur malah dia juga tidak menemukan suaminya sekitar dua hari.
“Mangsa bersama isterinya juga hanya tinggal berdua di rumah tersebut.
“Temu bual bersama adik isteri mangsa menyatakan kali terakhir menghantar makanan kepada pasangan tersebut adalah pada petang Jumaat dan dia turut menyatakan pernah melihat si mati memotong rumput bersendirian di rumahnya sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, anggaran tempoh kematian mangsa adalah lebih kurang dua hari bermula sekitar pagi Sabtu.
Tambahnya, mayat mangsa juga dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian serta pengecaman identiti.
“Berdasarkan hasil siasatan, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.


































