Keir Starmer berhasrat mewujudkan dasar merokok di kawasan terbuka.
LONDON: Kerajaan Britain kini merangka peraturan merokok yang lebih ketat di kawasan terbuka termasuk larangan menghisap bahan tembakau di padang bola sepak.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, langkah itu bagi mengurangkan bilangan kematian berkaitan penggunaan tembakau dan bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Katanya, menerusi cadangan itu, merokok mungkin akan dilarang di pub, kawasan terbuka di luar restoran serta pekarangan hospital dan padang.
Butiran lanjut tentang cadangan itu masih belum didedahkan, namun buat permulaan ia hanya akan dilaksanakan di England.
Pakar kesihatan menyambut baik cadangan berkenaan, namun tokoh utama dalam sektor hospitaliti bimbang sekatan tersebut mungkin menghalang beberapa perniagaan terutamanya pub.
Wakil Gabungan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), Dr Layla McCay menyifatkan, pelaksanaan ketat larangan itu mampu mengurangkan masalah besar kepada individu dan masyarakat akibat merokok.
Beliau memberitahu program Today BBC Radio 4, merokok adalah penyebab utama penyakit yang boleh dielakkan di United Kingdom (UK).
Bagaimanapun Persatuan Bir dan Pub Britain (BBPA) yang menaungi kira-kira 20,000 pub di UK menolak cadangan itu yang boleh menjejaskan perniagaan mereka selepas sedia terkesan dengan krisis tenaga serta pandemik Covid-19.
Ketua Eksekutif Kumpulan Hospitaliti UK, Kate Nicholls dalam pada itu berkata, kerajaan perlu meneliti cadangan tersebut kerana ia mampu merosakkan perniagaan dan merencatkan perkembangan ekonomi.
Kebimbangan sama turut disuarakan pemimpin pembangkang antaranya pemimpin Parti Reformasi, Nigel Farage yang menggelar tindakan kerajaan memperkenalkan cadangan itu sebagai keterlaluan dan mengarut.


































