Kamala Harris dan Donald Trump.
Sebanyak sembilan badan bebas ramalan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) menunjukkan calon Parti Demokrat, Kamala Harris mendahului sokongan pengundi berbanding calon Republikan, Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan analisis dibuat Projek 538 iaitu hasil inisiatif ABC News, yang mengambil data membabitkan semua badan bebas pilihan raya, Harris meraih sokongan 47.2 peratus manakala Trump pula sedikit ketinggalan iaitu 43.2 peratus.
Setakat kelmarin, semua badan bebas itu antaranya seperti YouGov, Big Village dan ActiVote menunjukkan Kamala meraih sokongan sekitar 43 dan 57 peratus berbanding Trump iaitu 40 dan 47 peratus.
Data sama juga menunjukkan 46.6 peratus rakyat AS akan mengundi Demokrat dan selebihnya 45.6 peratus cenderung kepada Republikan.
Malah Newsweek melaporkan, Harris mendahului sokongan di empat negeri penting iaitu Nevada, Pennsylvania, Wisconsin and Michigan meskipun Trump mengatasi sokongan rakyat terhadap Naib Presiden itu di tiga negeri utama iaitu North Carolina, Georgia dan Arizona.
Namun secara umumnya berdasarkan tinjauan awal badan Polymarket, 54 peratus rakyat cenderung kepada Harris dan Trump pula sekitar 45 peratus.
Situasi semasa diraih Harris sama seperti calon Demokrat, Hillary Clinton ketika Pilihan Raya Presiden AS 2016 yang menyaksikan bekas Wanita Pertama AS itu dilihat berpotensi besar berbanding Trump.
Pada mulanya, Clinton ketika itu dilihat mampu menewaskan Trump namun menjelang hari pengundian situasi telah berubah dan menyaksikan beliau tewas dan gagal menjadi wanita pertama sebagai Presiden AS.
Perkara sama boleh berulang sekiranya Harris dilihat selesa dengan tinjauan awal yang menunjukkan beliau kini memperoleh kedudukan ke hadapan sekali gus berpeluang cerah untuk menewaskan Trump.
Malah kempen Harris tertumpu kepada generasi muda apabila menggunakan populariti selebriti Hollywood seperti pelakon dan penyanyi di samping muncul di rancangan televisyen, ia menunjukkan beliau menang populariti namun belum tentu pengundian.
Bagaimanapun perjalanan pilihan raya masih panjang iaitu berbaki dua bulan menjelang hari pengundian November ini, sekali gus sepanjang tempoh tersebut pelbagai kemungkinan dan kejutan boleh berlaku khususnya peralihan sokongan dalam saat-saat akhir.
Begitu juga kepada Trump, ketika pilihan raya 2020 beliau dijangka meraih kemenangan namun segala berubah apabila Joe Biden meraih undi di Michigan yang majoriti pengundi Arab-Islam meskipun beliau menguasai sokongan dalam kalangan pengundi kulit putih.
Sebab itu Trump dalam kempen beliau tidak perlu mempamerkan simpati kepada perjuangan Palestin kerana ia tidak memberi manfaat politik dan ebih menjurus kepada menambah bantuan kepada Israel.
Berbeza pula dengan Harris terdapat sedikit keprihatinan terhadap kesengsaraan yang sedang dialami oleh penduduk Gaza.
Jadi yang menentukan kemenangan Harris dan Trump adalah dua kelompok pengundi iaitu pengundi konservatif yang terdiri dalam kalangan kulit putih dan progresif melibatkan dalam generasi muda dan Arab-Muslim iaitu lebih cenderung kepada Demokrat berbanding Republikan.


































