LOS ANGELES: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuat naik hantaran palsu di media sosial mendakwa bintang pop terkenal, Taylor Swift meminta orang ramai mengundinya dalam Pilihan Raya Presiden, November ini.
Menurut Utusan Malaysia, calon Presiden Republikan itu memuat naik mesej ‘Saya terima!’, bersama imej Swift berpakaian merah, putih dan biru dengan kapsyen ‘Taylor Swift mahu anda mengundi Donald Trump’.
Imej tersebut kelihatan dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Hantaran itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat Swift, dikenali sebagai Swifties, yang menuduh Trump menyebarkan maklumat palsu.
Ini kerana, penyanyi tersebut belum menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon dalam pilihan raya 2024, tetapi pernah menyokong Demokrat pada 2020 dan mengkritik Trump semasa beliau menjadi Presiden.
Salah satu gambar yang dikongsi Trump juga menunjukkan peminat Swift memakai baju-T yang tertera ‘Swifties for Trump’.
Ini termasuk, hantaran berbentuk sindirian bertajuk ‘Swifties beralih kepada Trump selepas ISIS menggagalkan konsert Taylor Swift’.
Baru-baru ini, Swift membatalkan tiga konsert di Vienna berikutan kemungkinan ancaman keselamatan.
Polis menahan dua individu yang disyaki merancang serangan yang didakwa diilhamkan oleh kumpulan Negara Islam (IS).


































