Kamala Harris
WASHINGTON: Calon Presiden dari Demokratik, Kamala Harris berhasrat untuk mengurangkan kos serta memperluaskan peluang untuk golongan pekerja dan kelas pertengahan Amerika jika dipilih pada November ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam ucapan pertamanya yang memfokuskan kepada dasar ekonomi, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menekankan mengenai pembinaan berjuta-juta rumah baharu dan bantuan untuk pembeli kali pertama, pelepasan cukai untuk keluarga serta larangan kenaikan harga barangan runcit.
“Kita tahu ramai rakyat Amerika masih belum merasakan kemajuan dalam kehidupan seharian mereka. Kos sara hidup masih terlalu tinggi.
“Sebagai Presiden, saya akan memberikan tumpuan khusus untuk mencipta peluang bagi kelas pertengahan yang meningkatkan keselamatan dan kestabilan ekonomi,” katanya dalam kempen di Raleigh, North Carolina semalam.
Harris merancang untuk mengumpulkan tenaga kerja dengan perniagaan kecil dan syarikat besar untuk melabur di Amerika, bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mencapai pertumbuhan yang meluas.
“Kunci kepada mewujudkan peluang ekonomi ini adalah dengan membina golongan kelas pertengahan di negara ini.
“Ini adalah penting kerana kelas pertengahan adalah salah satu kekuatan terbesar Amerika. Saya percaya apabila kelas pertengahan kua, Amerika juga kuat,” katanya.
Rancangan itu dibina berdasarkan idea daripada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden dan bertujuan menangani kebimbangan pengundi selepas kenaikan harga sejak 2021.
Banyak cadangan tersebut memerlukan tindakan daripada Kongres, di mana idea sama terhenti pada masa lalu.
Calon Presiden dari Republikan, Donald Trump berkata, Kamala diberi tempoh lebih tiga tahun dalam pentadbiran untuk melaksanakan janjinya, yang menurut kempen beliau adalah ‘terlalu liberal dan berbahaya’.
































