Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak lepas tangan mengenai kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan akan mengadakan mesyuarat untuk menyelaras semula pelaksanaannya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kelewatan itu berpunca daripada kelemahan penyelarasan kerja di peringkat agensi kerajaan negeri.
Menurut beliau, masalah berpunca dari fasa 1A di mana hanya empat daripada keseluruhan 15 pakej berjaya disiapkan dengan beberapa pakej lewat berbanding jadual asal.
“Projek ini mempunyai dua fasa. Yang masih bermasalah adalah fasa 1A yang mana hanya empat dapat disiapkan manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan.
“Saya telah turun padang dan dapati memang ada kelemahan dari segi penyelarasan kerja-kerja di tapak dan pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Sesi Dialog KKR Bersama Penggiat Industri Pembinaan Tahun 2024 di Kompleks Kerja Raya, di sini hari ini.
Kata beliau, arahan telah dikeluarkan dan mesyuarat penyelarasan bagi projek itu juga dirancang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai Belanjawan 2025, Nanta Linggi berkata, pihaknya berharap peruntukan KKR meningkat sekurang-kurangnya 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun ini (2024), kita terima penambahan 12 peratus, jadi kita harap tahun depan jangan kurang.
“Saya mengharap KKR terima peruntukan lebih daripada 12 peratus untuk Bajet 2025 nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berharap permohonan untuk meningkatkan peruntukan kepada Jurutera Daerah (JD) kepada RM300,000 diluluskan.
Katanya, permohonan itu merangkumi peningkatan sebanyak RM100,000 melibatkan 115 JD di seluruh negara.
“Dalam 2023, setiap JD mendapat peruntukan RM100,000 bagi kerja-kerja kecil dan segera sebelum ditambah menjadi RM200,000 pada tahun 2024.
“Ini bermakna pihak Kementerian Kewangan melihat ia sebagai satu program yang baik dan kami laksanakan dengan cara terbaik.
“Untuk tahun hadapan, kita akan mohon tambahan RM100,000 lagi, jadi berharap dapat diluluskan,’ kata beliau.
































