Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi penyelesaian dasar awam yang inovatif untuk mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berlaku ketika negara berada pada titik perubahan, menghadapi cabaran kecerdasan buatan generatif (GenAI), dinamik perdagangan global yang berubah, krisis iklim yang mendesak dan populasi kian berusia.
“Untuk mencapai tahap ini, adalah penting untuk melaksanakan penyelesaian dasar awam yang inovatif yang mencerminkan nilai MADANI seperti kelestarian, kesaksamaan dan keterangkuman melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
“Dinamik ini akan dibincangkan di PRAXIS 2024, yang menghimpunkan penggubal dasar, sektor swasta, masyarakat sivil, dan akademik,” katanya ketika berucap secara maya di PRAXIS 2024 anjuran oleh Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) hari ini.
PRAXIS adalah persidangan dasar awam utama ISIS Malaysia yang direka untuk mengumpul idea dan menterjemah teori ke dalam amalan.
Dengan tema ‘Dasar untuk Masa Depan yang Lebih Baik’, persidangan itu membincangkan isu berkepentingan nasional seperti menyesuaikan masa depan pekerjaan Malaysia dengan GenAI, mengimbangi peraturan platform media sosial dengan pertimbangan kebebasan bersuara, meneroka teknologi dekarbonisasi baharu untuk mencapai sifar bersih, dan banyak lagi.
Dengan menangani isu baharu itu, ia dijangka dapat memacu strategi utama Malaysia ketika negara mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.


































