Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan antara gambar suspek-suspek tangkapan kes penipuan pada sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur di sini hari ini
KUALA LUMPUR: Penipuan jual beli tanah oleh individu dikenali sebagai Siti Aisyah Nasib Ghazali melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM547,650.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik tanah kononnya untuk membeli tanah tersebut.
“Dalam masa sama, suspek akan mengiklankan penjualan tanah tersebut secara pecahan lot.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah tersebut ataupun mendakwa bahawa dia telah memperoleh kuasa mentadbir (power attorney) daripada pemilik asal tanah,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) di Menara KPJ, hari ini.
Menurutnya, mangsa-mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan setelah percaya dengan tipu helah suspek.
“Sejumlah enam kawasan di sekitar Selangor telah digunakan oleh suspek dalam tawaran penjualan lot tanah yang dilakukannya.
“Empat akaun bank telah dikenalpasti digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa.
“Tiga daripada akaun didaftarkan atas nama individu termasuk dua daripadanya adalah milik suspek sendiri. Satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek iaitu Izz Ikhwan Legacy Sdn. Bhd.,” katanya.
Jelas Ramli, siasatan turut mendedahkan beberapa individu lain turut terlibat dalam kegiatan penipuan yang dilakukan oleh suspek.
“Suspek telah dituduh bersabit 4 kes penipuan penjualan lot tanah. Perbicaraan bagi 4 kes ini mash berjalan di mahkamah.
“Suspek telah ditahan di Gombak, Selangor pada 12 Ogos lalu bersabit satu kes penipuan lot tanah,” katanya.
Tambahnya, suspek didakwa telah menipu seorang pesara berusia 59 tahun dalam urusan jual beli sebidang tanah lot sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM60,400.
“Pada 4 Ogos 2024 lalu, mangsa memaklumkan pada 5 November 2021, dia telah menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pemilik-pemilik berdaftar tanah berdasarkan surat kuasa yang diberikan kepada suspek.
“Mangsa telah diyakinkan bahawa suspek telah membeli keseluruhan tanah tersebut yang berkeluasan 1.62 hektar dan juga dimaklumkan bahawa suspek sedang dalam proses permohonan untuk memecahkan tanah tersebut kepada 92 lot individu,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang pembangunan dibuat terhadap tanah tersebut dan pecahan lot tidak dilakukan setelah bayaran dibuat kepada suspek.
“Mangsa juga turut berjumpa dengan salah seorang pemilik asal tanah tersebut yang kemudiannya memaklumkan tidak menerima sebarang pembayaran dari suspek bagi tujuan pembelian tanah tersebut. Sehingga kini hak milik tanah tersebut masih kekal atas nama pemilik asal,” katanya.
Tambahnya, suspek direman selama tiga hari sehingga 14 Ogos 2024. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
































