Jasnih Daya
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya menggesa agar satu kajian menyeluruh melibatkan Impak Alam Sekitar (EIA), Sosial (SIA) dan Kesihatan Awam (HIA) dilaksanakan secara telus dan bebas bagi menangani krisis pengurusan sisa pepejal di Sabah.
Beliau berkata, keperluan itu amat mendesak berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap tapak pelupusan sisa Kayu Madang serta pencemaran serius di kawasan pesisir Pantai Mengkabong–Gayang, Tuaran.
“Pendekatan berasaskan data melalui EIA, SIA dan HIA amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira kesan menyeluruh terhadap alam sekitar, masyarakat dan kesihatan awam,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jasnih berkata, tapak pelupusan Kayu Madang yang merupakan kemudahan utama bagi kawasan Pantai Barat Sabah kini menerima kira-kira 800 tan sisa pepejal setiap hari meliputi Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Belud.
Katanya, dengan keluasan sekitar 115 ekar, tapak tersebut kini dilaporkan menghampiri kapasiti maksimum dan berada dalam fasa akhir operasinya, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan sistem pengurusan sisa pada masa hadapan.
“Keadaan ini menunjukkan tekanan yang sangat tinggi terhadap sistem sedia ada, apatah lagi kita masih bergantung kepada satu tapak pelupusan untuk beberapa daerah tanpa pelan alternatif yang jelas,” katanya.
Beliau turut menekankan isu pencemaran bau berpanjangan yang berpunca daripada pelepasan gas seperti metana dan hidrogen sulfida hasil pereputan sisa organik serta kaedah pelupusan yang masih bersifat terbuka atau separa sanitari.
Katanya, faktor cuaca panas dan arah angin memburukkan keadaan apabila bau tersebut merebak ke kawasan penempatan berhampiran, sekali gus menjejaskan kualiti hidup penduduk.
Selain itu, beliau berkata, insiden kebakaran di tapak pelupusan berkenaan turut membimbangkan, termasuk kejadian pada 2024 melibatkan kawasan seluas 4.57 hektar serta kebakaran terbaharu pada Mac 2026 yang melibatkan longgokan tayar kira-kira tiga ekar.
“Kebakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap tebal, malah membebaskan bahan pencemar berbahaya ke udara yang boleh menyebabkan masalah pernafasan serta risiko kesihatan jangka panjang,” katanya.
Dalam konteks perancangan wilayah, Jasnih berkata, kewujudan tapak pelupusan berskala besar berhampiran kawasan penempatan dan zon pembangunan merupakan konflik guna tanah yang ketara.
“Ia berpotensi menjejaskan nilai hartanah, menghalang pelaburan serta mengurangkan daya tarikan pembangunan di kawasan sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar tapak sedia ada dinaik taraf kepada sistem sanitary landfill sepenuhnya, termasuk kawalan gas, rawatan larut resap dan penutupan sisa harian yang lebih sistematik.
Pada masa sama, beliau turut menggesa pelaksanaan dasar pengasingan sisa dari punca secara mandatori dipercepatkan bagi mengurangkan beban ke tapak pelupusan, selain merangka pelan jangka panjang termasuk pembangunan tapak baharu dan penerokaan teknologi waste-to-energy.
Mengulas isu berkaitan, beliau berkata, pencemaran sisa di pesisir Pantai Mengkabong–Gayang turut menunjukkan kaitan langsung dengan kelemahan sistem pengurusan sisa di daratan.
Katanya, kawasan pesisir itu yang merupakan ekosistem bakau penting kini berdepan peningkatan pencemaran sampah terutama plastik yang terkumpul di sepanjang pantai.
“Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antara 60 hingga 80 peratus sampah marin di dunia terdiri daripada plastik, manakala kira-kira 80 peratus pencemaran laut berpunca daripada aktiviti di daratan,” katanya.
Beliau berkata, Sungai Tuaran dikenal pasti sebagai laluan utama pemindahan sisa ke laut, manakala sistem kutipan sampah di beberapa kampung pesisir masih belum menyeluruh dan konsisten.
Akibatnya, katanya, komuniti nelayan terpaksa menanggung kos tambahan akibat kerosakan peralatan seperti jaring, selain berdepan risiko kesihatan apabila mikroplastik memasuki rantaian makanan laut.
“Pencemaran ini juga menjejaskan imej kawasan dan mengurangkan potensi pelancongan berasaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau mencadangkan agar dalam jangka pendek, liputan kutipan sampah diperkukuh di semua kampung pesisir termasuk penyediaan kemudahan asas.
Bagi jangka sederhana, beliau mencadangkan pemasangan perangkap sampah di Sungai Tuaran serta memperkukuh pendidikan dan kesedaran komuniti.
Dalam jangka panjang pula, beliau mengesyorkan pewujudan pelan pengurusan sisa bersepadu khusus bagi kawasan pesisir termasuk pengurangan plastik sekali guna dan pembangunan sistem kitar semula berasaskan komuniti.
“Jelas bahawa kita berdepan cabaran sistemik dalam pengurusan sisa pepejal, daripada hulu di tapak pelupusan hingga ke hilir di kawasan pesisir.
“Ia bukan lagi isu terpencil, sebaliknya melibatkan kesihatan awam, keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan masa depan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan lebih menyeluruh, bersepadu dan tegas amat diperlukan bagi memastikan Sabah bergerak ke arah sistem pengurusan sisa yang moden, mampan dan bertanggungjawab.






























