Mohd. Arsad Bistari
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari mencadangkan Kerajaan Negeri merangka satu pelan tindak balas menyeluruh bagi memperkukuh ketahanan ekonomi dan keterjaminan makanan Sabah dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, kebergantungan Sabah terhadap rantaian bekalan luar serta kesan kenaikan kos logistik akibat ketegangan geopolitik global memerlukan tindakan strategik yang lebih tersusun dan proaktif.
“Dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global termasuk kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kos logistik dan rantaian bekalan, Sabah tentu tidak terkecuali menerima tempiasnya.
“Keadaan ini menuntut kita terus memperkukuh daya tahan ekonomi domestik, khususnya dalam soal bekalan makanan dan kos sara hidup,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Mohd. Arsad berkata, pelan tindak balas itu wajar memberi penekanan kepada beberapa komponen utama termasuk simpanan strategik makanan negeri, pemantauan harga secara masa nyata (real time), pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta pengurangan kebergantungan terhadap import.
Beliau turut mencadangkan penyelarasan lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan khususnya dalam aspek subsidi serta kawalan harga bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang diperluaskan ke 600 Dewan Undangan Negeri termasuk Tempasuk.
“Pelaksanaan PJRM ini amat membantu rakyat dalam menangani kesan kenaikan harga barangan asas dan saya berharap ia terus diperkukuh dengan penglibatan lebih aktif wakil rakyat serta pemimpin masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif Kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian termasuk Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi bagi meningkatkan tahap sara diri beras negeri.
Menurutnya, kadar sara diri (SSR) beras Sabah yang masih berada pada tahap sekitar 20 hingga 25 peratus perlu dipertingkatkan kepada 30 hingga 40 peratus dalam tempoh lima tahun, manakala pengeluaran ayam dan telur disasarkan sehingga 80 peratus.
Beliau turut mencadangkan peluasan Program Kebun Dapur di bawah Revolusi Ekonomi Luar Bandar (RAER) 2026–2030 daripada skala isi rumah kepada skala komuniti, termasuk di kampung dan kawasan perumahan.
“Program ini wajar diperluaskan dengan pusat pengumpulan dan pemasaran hasil yang lebih sistematik bagi mengurangkan pembaziran serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar,” katanya.
Dalam aspek perumahan pula, Mohd. Arsad menyambut baik peningkatan kuota Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 50 unit setiap DUN bermula 2026, namun mencadangkan Skim Pembaikan Rumah Daif diperkenalkan bagi membantu golongan yang mendiami rumah pusaka uzur.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan menaik taraf kemudahan sukan di Kompleks Sukan Botong, Kota Belud yang dibina pada 1982 serta menyokong pembinaan asrama atlet dan pemasangan lampu limpah stadium.
Menyentuh isu infrastruktur, beliau memaklumkan Kota Belud kini berdepan defisit bekalan air sekitar 4.4 juta liter sehari dan mencadangkan kajian pembinaan mini empangan di Sungai Babagon dan Sungai Takutan Rosok bagi menyokong bekalan air, pengairan serta potensi hidro kecil.
Beliau juga mencadangkan pembinaan laluan jalan baharu dari Mukim Taun Gusi ke Pekan Kota Belud serta menaik taraf jalan kampung di beberapa kawasan utama bagi meningkatkan jaringan perhubungan rakyat.
Dalam sektor ekonomi baharu, beliau menekankan potensi besar akuakultur air tawar di Tempasuk yang melibatkan spesies seperti tilapia dan patin, dengan penglibatan komuniti tempatan serta golongan belia sebagai pemain utama.
Mohd. Arsad menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan dasar kerajaan dan berharap semua inisiatif yang digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Yang penting ialah memastikan setiap inisiatif ini diterjemahkan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat di semua peringkat,” katanya.






























