Donald Trump
WASHINGTON: Donald Trump dan Kamala Harris bersedia untuk berdebat pada 10 September di Syarikat Penyiaran Amerika (ABC) selepas bekas Presiden itu berkata pada Khamis bahawa beliau bersetuju dengan pertemuan itu, bersama dua yang lain pada bulan depan, menurut Utusan Malaysia.
“ABC News akan menjadi tuan rumah kepada calon Presiden yang layak untuk berdebat pada 10 November. Naib Presiden Harris dan bekas Presiden Trump telah mengesahkan kehadiran mereka pada sesi debat kali ini,” kata rangkaian itu dalam satu kenyataan.
Bercakap pada sidang akhbar di pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida, Trump berkata bahawa beliau tidak sabar untuk berdebat bersama Harris dan beliau turut bersetuju untuk tarikh akan datang dengan rangkaian televisyen lain seperti Fox News, ABC dan NBC.
Penasihat kanan Trump dan sumber ABC berkata bahawa tarikh perdebatan antara Trump dan Harris dijangka berlangsung pada 4 September dengan Fox News, 10 September dengan ABC dan 25 September dengan NBC.
Harris yang sebelum ini bersetuju dengan debat di stesen rangkaian ABC, mengesahkan penyertaannya lewat Khamis dan berasa gembira untuk membincangkannya dengan lebih lanjut.
“Saya gembira beliau (Trump) akhirnya bersetuju untuk berdebat pada 10 September ini. Saya menantikannya, dan saya harap beliau akan muncul,” kata Harris kepada pemberita sebelum menaiki pesawat Air Force Two di Detroit selepas menghadiri acara bersama United Auto Workers.
Ketika ditanya sama ada beliau terbuka kepada perdebatan lain yang disebut oleh Trump, Harris berkata beliau bersedia untuk berbincang mengenai debat yang seterusnya.
Sesi perdebatan anjuran ABC pada asalnya diterima oleh Trump dan Presiden Joe Biden sebelum beliau mengumumkan menarik diri di mana sumber dari stesen penyiaran tersebut menyatakan keyakinan bahawa perdebatan di rangkaian tersebut akan menjadi yang pertama di antara Trump dan Harris.
































