UniSZA Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu
KUALA TERENGGANU : Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memandang serius dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu melalui media sosial, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, UniSZA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menjaga mutu program diploma dan ijazah pendidikan tinggi yang dikeluarkan.
“UniSZA sentiasa memastikan pematuhan terhadap tata kelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Professional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan.
“Justeru, UniSZA akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan dan nama baik universiti yang tercemar akibat penyebaran maklumat yang salah dalam media sosial tersebut,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Tambah kenyataan itu, laporan polis juga telah dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah ini.
“UniSZA akan terus komited dalam menjaga nama baik Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang mendakwa dia hanya membeli ijazah sarjana muda di UniSZA dan sebagai imbalannya, universiti itu memberikan ilmu dan sekeping sijil (ijazah sarjana muda) selepas tamat pengajian.
Isu tersebut menjadi polemik kerana banyak pihak mempertikaikan istilah ‘beli sijil degree’ memandangkan semua pelajar memang bertungkus lumus menimba ilmu untuk menamatkan pengajian dengan sempurna.
































