Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang perolehan aset keselamatan negara perlu dibuat mengikut kaedah peraturan betul dan tidak memenuhi keuntungan peribadi atau demi keuntungan ejen dalam dan luar negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, walaupun bermatlamat untuk mempertahankan keselamatan negara, soal perolehan mesti bertanggutanggungjawab dan dipastikan tidak berlaku ketirisan berbanding jumlah peruntukan besar diberikan setiap tahun.
Beliau berkata, walaupun dipersetujui peruntukan tambahan diberikan dalam aspek keselamatan negara bukan sahaja dalam pasukan polis, tentera dan pasukan-pasukan keselamatan lain, tetapi cara pembelian itu menyebabkan terlalu banyak ketirisan dan ini mesti dihentikan.
“Saya agak keras tentang ini, tidak disenangi banyak pihak tapi tidak ada pilihan. Kalau kita mahu benar percaya pertahankan keselamatan negara, maka dari awal di semua peringkat termasuk perolehan (perlu dibuat teratur).
“Kalau tidak lihat nasib kapal perang kita, nasib pesawat kita dan bandingkan dengan jumlah peruntukan besar diberikan setiap tahun.
“Sebab itu saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kembali kepada landasan memastikan bahawa perolehan itu mesti mengikut kaedah peraturan betul dan tidak kepentingan ejen-ejen dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap merasmikan bulan Keselamatan Negara 2024 di sini kelmarin.
Anwar pada masa sama mengingatkan rakyat agar tidak memandang ringan soal keselamatan kerana ada usaha berterusan untuk menganggu gugat keamanan negara sama ada dari dalam dan luar negara.
Ini kerana katanya, soal keselamatan negara sama ada aman dan selamat adalah ditentukan rakyat sendiri dan negara tidak boleh menumpang belas kasihan sesiapa.
“Saya bukan maksud nak menakutkan, tapi saya bimbang kerana ada orang anggap selesa. Apa nak bimbang, negara aman, makan cukup, negeri sedang mencatatkan kadar pertumbuhan membanggakan, kadar pengangguran menurun, pelaburan meningkat.
“Benar dan kita harus beri tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi tanpa meringankan keutamaan keselamatan dan tanpa mengenepikan aspek-aspek penting termasuk nilai, cara kita mengurus negara dan tatakelola termasuk dalam pasukan keselamatan,” katanya.
































