PETALING JAYA: Kandungan aplikasi WhatsApp yang sedang tular berhubung kenaikan gaji penjawat awam yang didakwa dikeluarkan dari Kementerian Kewangan bertarikh 25 Julai lalu, adalah palsu.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan dalam kenyataan meminta orang ramai khususnya para penjawat awam supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan berita tersebut.
“Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dah sahih,” kata hantaran itu.
Terdahulu, tular satu mesej yang kononnya memperincikan kenaikan gaji penjawat awam mengikut gred dengan bakal diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam 2024 pada 16 Ogos ini.
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada MAPPA yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadual pada Oktober ini.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.


































