Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima buku Laporan Indeks Keselamatan Negara daripada Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin pada Majlis Perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
PUTRAJAYA: Langkah meningkatkan keselamatan siber negara perlu ditingkatkan memandangkan Malaysia masih berada di tahap lemah berbanding negara-negara lain.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu, kerajaan meletakkan keutamaan dan tumpuan tindakan termasuk menyediakan latihan kepakaran dan membina jaringan di beberapa syarikat dan badan risikan siber yang boleh dimanfaatkan.
“Kita telah memperkenalkan undang-undang keselamatan siber. Dan baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Menteri Digital memberi tumpuan (pelesenan baharu pengendali media sosial) menjamin supaya keselamatan itu untuk rakyat dalam dan luar negara.
“Ini memerlukan tindakan agak tegas untuk mengawal (keselamatan siber),” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Siber Negara 2024 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menepis dakwaan bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang dan pelesenan baharu bagi pengendali media sosial adalah bertujuan mengekang kebebasan bersuara rakyat.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara demokratik dan kebebasan diberikan dalam menyuarakan pandangan sama ada bersetuju, atau membuat teguran sekali pun menentang tindakan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pihak tertentu menggunakan platform media sosial untuk tujuan jenayah atau menipu orang tidak akan diizinkan berlaku dan harus disekat kerana boleh menjejaskan keselamatan rakyat.
“Urusan digital dan media sosial digunakan untuk mendera orang sehingga menyebabkan bunuh diri, salah guna memperalatkan anak-anak kecil untuk urusan dagang seks, apakah ini diwajarkan?
“Jenayah scam juga telah mencecah lebih RM2.5 bilion orang ditipu melalui kemudahan media sosial. Apabila kita kata harus sekat, dia kata jangan sekat kebebasan, apakah kebebasan itu boleh menipu, mencuri, medera orang sehingga orang bunuh diri.
“Hal ini harus difahami rakyat kerana dalam soal keselamatan diri, harga maruah diri mesti diberi keutamaan,” katanya.


































