IPOH: Kegagalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membenarkan J. Soosaimanicckam mendapatkan rawatan bagi edema pulmonari yang disebabkan oleh kencing tikus telah ‘membunuh’ pegawai kadet itu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, tindakan pegawai latihan TLDM menafikan hak Soosaimanicckam itu secara langsung telah menyebabkan kematian lelaki terbabit.
“Mempertimbangkan semua bukti, mahkamah dengan ini mengenepikan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dan menggantikan dengan bunuh di mana punca kematian si mati ialah disebabkan edema pulmonari akibat jangkitan leptospirosis kencing tikus.
“Kematian si mati yang tidak dijangka itu juga adalah akibat langsung daripada (tindakan) pegawai TLDM yang bertanggungjawab dalam latihan kadet yang menafikan hak Soosaimanicckam untuk mendapatkan rawatan perubatan,” ujar hakim itu.
Beliau memutuskan demikian dalam rayuan terhadap keputusan terbuka berhubung inkues menentukan punca kematian Soosaimanicckam di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini kelmarin.
Keputusan itu dibuat selaras dengan perenggan (d) Arahan Amalan Ketua Hakim Negara No.2 dan mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah untuk menentukan siapa yang terlibat secara jenayah dalam punca kematian seseorang individu.
Menurut Hakim Abdul Wahab, Mahkamah Koroner sebelum ini telah terkhilaf dalam memutuskan keputusan terbuka bagi punca kematian lelaki itu tanpa mempertimbangkan bukti yang ada.
“Dengan hormatnya, Koroner telah mengambil jalan mudah dengan memutuskan “Keputusan Terbuka” tanpa mempertimbangkan segala bukti yang ada di depannya,” kata hakim itu.
Sementara itu, di luar mahkamah, peguam keluarga, Zaid Malek memberitahu, keputusan oleh Mahkamah Tinggi itu memberi kelegaan kepada keluarga mendiang yang telah berjuang menuntut keadilan sejak enam tahun lalu.
“Kita bersyukur dengan keputusan hari ini (kelmarin) apabila akhirnya ada pihak yang patut dipertanggungjawabkan sebagai punca kematian si mati,” ujar beliau.
Pada 16 Jun 2023, Mahkamah Koroner Ipoh memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian Soosaimanicckam yang meninggal dunia pada semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018.
































