Pearly Tan (kanan) melakukan pukulan di hadapan M. Thinaah dalam perlawanan peringkat kumpulan badminton beregu wanita Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle, hari ini.
PETALING JAYA: Mereka merupakan prospek utama Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama negara, namun, prestasi yang dipamerkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam perlawanan pembukaan Sukan Olimpik di Paris, Perancis, sebentar tadi, amat membimbangkan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam aksi peringkat Kumpulan A itu, Aaron-Wooi Yik bergelut sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan No. 18 dunia, Sean Vendy-Ben Lane dari Great Britain dalam pertarungan sengit yang diheret sehingga ke rubber set 19-21, 21-16, 21-11.
Permulaan yang sedikit ‘berkarat’ dipamerkan beregu No. 5 dunia itu membuat peminat badminton di tanah air berasa senak perut memandangkan Aaron-Wooi Yik merupakan sandaran No. 1 Malaysia untuk menjelmakan pingat emas sulung yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Bekas juara dunia itu yang kerap melakukan kesilapan sendiri perlu mengelak masalah sama berulang apabila berdepan beregu No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, Selasa ini.
Aaron ketika ditemu bual selepas perlawanan mengakui, dia dan Wooi Yik lambat untuk menyesuaikan diri dengan perminan dalam gelanggang.
“Saya berharap kami dapat memperbaiki permainan kami dalam perlawanan kedua nanti dan tidak ulang kesilapan sama,” katanya.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, pasangan negara, Pearly Tan-M. Thinaah tewas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di tangan pasangan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 17-21, 20-22.
Kekalahan yang sememangnya telah diduga bakal merintis laluan sukar buat pasangan No. 13 dunia itu untuk menghidupkan peluang mereka mara ke peringkat kalah mati.
Diundi di dalam kumpulan maut, Pearly-Thinaah tidak mempunyai pilihan melainkan memburu kemenangan dalam dua baki perlawanan peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, pencabar yang menanti pasangan ke-13 dunia itu bukanlah calang-calang lawan apabila mereka dijadualkan bertemu beregu No. 6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan pasangan No. 9 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.
Bukan tidak pernah mengalahkan kedua-dua beregu tersebut, cuma sedikit keyakinan yang diperlukan Pearly-Thinaah bagi menghidupkan kembali peluang untuk melangkah lebih jauh pada penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik.
“Saya berasa sedih tidak dapat melakar kemenangan dalam perlawanan pertama, bagaimanapun, masih ada perkara positif yang berlaku dalam gelanggang tadi apabila kami saling menyokong di antara satu sama lain,” kata Thinaah ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Pemain berusia 26 tahun itu berjanji untuk tebus kehampaan tersebut dalam dua baki perlawanan dan bersedia mempamerkan aksi marathon pada pertemuan itu nanti.
































