Empat daripada tujuh lelaki berpakaian seperti wanita yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kuala Terengganu, malam tadi.
KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan tujuh lelaki kerana berpakaian seperti wanita dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah kediaman, di sini, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia lingkungan 17 hingga 54 tahun.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa JHEAT menyerbu tiga buah rumah di sebuah flat di bandar ini kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Ada antara lelaki tersebut yang memakai baju kurung dan yang lain berpakaian mencolok mata ketika serbuan dibuat.
“Sebenarnya, kita telah membuat banyak pemantauan sebelum ini dan mendapati mereka sering berpakaian seperti wanita pada waktu malam dan berada di kawasan beranda rumah.
“Keadaan ini telah menarik minat ramai lelaki memasuki kawasan flat itu sekali gus menimbulkan kegusaran dan rasa kurang senang penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau menambah, kesemua lelaki tersebut ditahan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.
“Mereka yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Mereka kemudiannya dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah,” katanya.
































