Rina Jainal
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan antara RM200 hingga RM350 sebulan, dengan sebarang kenaikan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negeri.
Pembantu Menteri kepada Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, kadar bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan kekal buat masa ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Edna Jessica Majimbun (Inanam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. Edna meminta penjelasan sama ada Kerajaan bercadang meningkatkan kadar bantuan selaras dengan kos sara hidup.
Menurutnya, bagi bantuan kebajikan Persekutuan pula, sebarang kenaikan adalah tertakluk kepada pembentangan bajet oleh Perdana Menteri di Parlimen.
“Kesediaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bajet adalah bergantung kepada kedudukan kewangan semasa,” katanya.
Rina menjelaskan bahawa Kerajaan telah meningkatkan kelayakan pemohon berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
Katanya, pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) dinaikkan daripada RM1,198 pada tahun 2025 kepada RM1,236 pada tahun 2026, manakala pendapatan per kapita meningkat daripada RM322 kepada RM348.
Beliau turut menegaskan bahawa pemberian bantuan kebajikan tidak berasaskan konsep negara kebajikan sepenuhnya, sebaliknya bertujuan membantu penerima untuk berdikari.
“Permohonan bantuan akan disiasat dan dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan bukan hak, tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau jantina,” katanya.
Menurut beliau, bantuan kewangan yang diberikan adalah bersifat sementara bagi membantu individu atau keluarga yang memerlukan meningkatkan kualiti hidup.
Mengulas isu penamatan bantuan tanpa notis, Rina menjelaskan bahawa terdapat beberapa sebab yang boleh menyebabkan bantuan dihentikan, termasuk peningkatan pendapatan melebihi garis kemiskinan, kematian penerima, perpindahan tempat tinggal, serta kegagalan mengemukakan borang kaji semula.
Selain itu, bantuan juga boleh ditamatkan sekiranya maklumat yang diberikan tidak sahih atau penerima tidak dapat dihubungi selepas beberapa percubaan.
Bagi skim bantuan tidak produktif pula, penamatan dibuat selepas siasatan mendapati penerima tidak lagi memenuhi syarat kelayakan atau berlaku perubahan status sosioekonomi.
“Penamatan juga boleh berlaku secara automatik melalui sistem eBJKM sekiranya penerima meninggal dunia, berdasarkan rekod dalam sistem myIDENTITY,” jelasnya.
Beliau berkata, setiap keputusan penamatan bantuan akan dimaklumkan kepada penerima atau waris melalui surat rasmi, sama ada melalui sistem atau secara manual bagi bantuan negeri.
Dalam pada itu, Kerajaan memberi jaminan bahawa ketelusan dalam penilaian kelayakan sentiasa dipelihara melalui garis panduan yang jelas, latihan kepada pegawai, pemantauan berkala serta semakan sistem secara berterusan.
Rina berkata, penerima yang bantuan mereka ditamatkan tetapi masih memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan baharu dengan dokumen lengkap di pejabat kebajikan berhampiran.
Tambahnya, permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem Sabah Welfare Aid Application (SWAA) bagi bantuan negeri dan sistem eBantuan untuk bantuan Persekutuan.






























