Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Jenayah komersial membabitkan 10 individu yang disiasat kes curi wang akaun simpanan tetap RM24.7 juta merupakan kes pertama dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, keputusan menggunakan SOSMA dalam siasatan kes ini dibuat setelah mendapati pelakuan sindiket adalah satu jenayah terancang dan serius sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Menurutnya, siasatan kes ini bermula 28 Jun lalu dan berakhir pada 22 Julai.
“Tindakan siasatan menyaksikan penggemblengan tenaga melibatkan lebih 50 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang bertindak di dalam pasukan-pasukan kecil.
“Ia melibatkan kejituan penyelarasan di semua peringkat dan sinergi setiap pasukan petugas dengan Jabatan Peguam Negara sehingga membawa kepada pertuduhan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Tambah beliau, kejayaan pasukan siasatan sehingga membawa kepada pertuduhan merupakan permulaan kepada dimensi baharu siasatan jenayah komersial.
“Saya yakin, ini juga akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan siasatan JSJK pada masa akan datang.
“Saya merakam penghargaan kepada pasukan JSJK Bukit Aman, JSJK Kontinjen Sabah serta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara atas usaha gigih serta komitmen sepanjang siasatan kes ini dilaksanakan,” ujarnya.
Hari ini, media melaporkan 10 individu di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah terlibat dalam jenayah terancang untuk mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap sebuah bank.
Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menganggotai suatu kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dua puluh tahun jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap mereka diperoleh setelah siasatan berjaya membuktikan kegiatan mereka merupakan satu ancaman yang memudaratkan ketenteraman awam.
Pada Jun lepas, media melaporkan seorang petugas bank ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian lebih RM24 juta.
































