Pegawai Korea Selatan memakai alat pelindung sambil mengutip sampah dari belon yang dihantar oleh Korea Utara di Seoul kelmarin.
SEOUL: Korea Utara terus menghantar belon berisi sampah ke Korea Selatan, dengan beberapa daripadanya mendarat berhampiran pejabat Presiden di Seoul.
Menurut Utusan Malaysia, Perkhidmatan Keselamatan Presiden dalam kenyataan berkata, sampah yang dibawa oleh belon itu dikenal pasti di kawasan sekitar kompleks kerajaan di kawasan Yongsan.
Menurut kenyataan itu, objek di dalam belon tidak mengandungi bahan tercemar atau risiko lain.
Sementara itu, tentera Korea Selatan mengesahkan Pyongyang menghantar satu lagi kumpulan belon berisi sampah pada awal Rabu.
“Dengan arah angin semasa yang menghala ke barat, belon sampah yang disyaki ditujukan ke Selatan bergerak ke arah bahagian utara Gyeonggi (wilayah),” kata Ketua Turus Bersama (JUS).
Sejak Mei, Korea Utara secara berkala menghantar ratusan belon yang membawa pelbagai jenis sampah merentasi sempadan yang berkubu kuat dengan Selatan.
Tindakan tersebut mendorong tentera Korea Selatan untuk menyambung semula kempen propaganda menggunakan pembesar suara terhadap negara jirannya itu.
Pyongyang berkata, pihaknya giat membalas kempen propaganda berterusan oleh pembelot dan aktivis Korea Utara di Selatan, yang kerap menghantar belon mengandungi risalah anti-Pyongyang, bersama makanan, ubat, wang serta peranti USB yang dimuatkan dengan video K-pop dan drama.
Sejak 2022, pejabat Presiden di Korea Selatan berpindah ke Yongsan, sebuah daerah pusat di Seoul, selepas Presiden Yoon Suk Yeol meninggalkan tradisi selama beberapa dekad dan berpindah dari Blue House yang lebih terpencil.


































