Salina Abdullah
DUNGUN: Seorang wanita memohon orang ramai mencari ibunya yang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke kediaman mereka di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, dekat sini, sejak Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Maisarah Zailan, 29, berkata, kali terakhir ibunya, Salina Abdullah,50, dilihat memandu kenderaan Perodua Alza berwarna putih dengan nombor pendaftaran W 7115 U, kira-kira pukul 4 petang, tiga hari lalu.
“Ibu keluar sendirian dengan memandu kereta tanpa memberitahu sesiapa pun ke mana dia nak pergi.
“Kami hanya sedar ibu keluar selepas terlihat dia memandu kereta. Kami tak sempat nak tanya dia nak pergi ke mana sebab ketika itu dia dah keluar dari pagar,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Anak sulung daripada lima adik beradik itu berkata, ibunya yang mempunyai masalah kemurungan, jarang keluar bersendirian dan lazimnya ditemani adik bongsunya, Naziha Shakira, 16.
“Ibu pernah memandu sendirian, tetapi sangat jarang. Kalau dia keluar seorang diri pun, dia akan beritahu ke mana dia mahu pergi dan biasanya dia hanya ke pantai sekitar Paka.
“Apa yang lebih membimbangkan, ibu tidak dapat dihubungi langsung kerana dia tidak menggunakan telefon bimbit. Sejak kebelakangan ini juga, kami perasan ibu kurang bercakap,” katanya.
Maisarah memberitahu, dia bersama adik beradiknya berusaha mencari ibu mereka di sekitar Dungun dan Kemaman, sementara bapa mereka, Zailan Md Noor, 54, yang bekerja di Kuala Lumpur pula mencari ibu mereka di sekitar ibu kota.
Katanya, dia telah membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya di Balai Polis Ketengah Jaya, di sini, Selasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Salina boleh melaporkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi Maisarah di talian 019-3384241.






























