Masiung (dua dari kanan) menerima cendrahati daripada Timbalan Ketua PDM Simpang Entilibon, Naim Kimbigang.
TONGOD: Sauh parti harus diperkukuhkan supaya kapal perjuangan yang dilabuhkan tidak hanyut dibadai ribut dan taufan, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Seperti perumpamaan tersebut, beliau mahu pemimpin akar umbi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hala tuju parti menerusi konsep Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Jangkar (sauh) Gagasan Rakyat harus dipertahankan, jangan diperlekehkan, kerana setiap langkah yang kita tunjangi akan diukur oleh segenap lapisan rakyat.
“Tidak kira pemimpin Pemuda, Wanita atau Beliawanis, mereka perlu menyampaikan mesej Kerajaan kepada rakyat bawahan sambil memperbetulkan isu negetif yang ditaburkan oleh pembangkang,” kata ADUN Kuamut ketika merasmikan mesyuarat berkelompok Gagasan Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Entilibon, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, parti-parti pembangkang di Sabah yang sebelum ini pernah berada di puncak kuasa tidak akan pernah berpuas hati dan akan terus menaburkan pelbagai dakyah negatif.
Beliau mahukan pemimpin peringkat bahagian supaya tidak berdiam diri sebaliknya menangkis tohmahan dan fitnah jahat pemimpin pembangkang.
Beliau berkata, pemimpin pembangkang yang kemaruk mahu berkuasa sanggup melakukan apa sahaja termasuk memfitnah parti dan Kerajaan pada hari ini melalui platform media sosial.
“Mereka (pembangkang) sanggup mengupah penulis untuk menyebar dakyah buruk terhadap kita melalui laman media sosial,” jelasnya.
Di sinilah peranan penimpin bahagian untuk menjelaskan kepada rakyat dan membetulkan tohmahan yang dilemparkan kepada parti dan Kerajaan Negeri.


































