PUTRAJAYA: Kadar liputan 5G dalam negara kini sudah mencapai 81.5 peratus di kawasan berpenduduk sekali gus menunjukkan prestasi baik dan melepasi sasaran.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, statistik terkini menunjukkan jumlah pengguna individu bagi jaringan internet itu pula mencecah 13.56 juta pengguna dan meliputi 550,000 pengguna syarikat.
Menurut beliau, jumlah itu adalah peningkatan yang baik dengan keseluruhan 14.1 juta akaun yang menggunakan 5G atau 41.5 peratus daripada pengguna peranti.
Beliau berkata, perkembangan tersebut sangat baik jika dibandingkan dengan Korea Selatan, kawasan liputan 5G negara itu dalam 97 peratus tetapi penerima hanya sekitar 50 hingga 55 peratus manakala Malaysia sudah mencapai 41.5 peratus dalam masa singkat.
“Pada Februari 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar liputan 5G perlu capai 80 peratus sebelum boleh beralih ke dwirangkaian, waktu itu jumlah pengguna 5G sangat kecil dan pada Disember, iaitu selepas tandatangan persetujuan, ada peningkatan yang besar.
“Kemudian apabila saya arahkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bahawa semua telco jangan mengenakan lebihan caj untuk pengguna 5G, jumlah pengguna meningkat lagi.
“Ada beberapa dasar yang kita laksanakan yang membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.
KAEDAH
Fahmi berkata, Malaysia melaksanakan kaedah pertama di dunia iaitu perjanjian komersial pada 9 Mei lalu untuk perkongsian rangkaian yang belum pernah dibuat di mana-mana negara.
Katanya, perkongsian rangkaian ini membolehkan pengguna menikmati internet walaupun di kawasan itu bukan di bawah rangkaian liputan syarikat langganannya.
“Kaedah ini seperti perayauan domestik (domestic roaming). Contoh, kita pergi dari tempat A ke tempat B. Tempat A ada telco 1 tetapi tempat B tiada telco 1, jadi telco 1 ini boleh pasang peralatan di tempat B untuk membolehkan pengguna menikmati internet.
“Ia boleh berlaku sebab kita sudah minta semua telco ini melalui Digital Nasional Bhd (DNB) bekerjasama secara Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN). Semua rangkaian ini harus hidup secara rukun, aman damai, bukan madu tiga, tapi madu enam di bawah satu rumah. Jadi bila dengan DNB, menteri pun sudah arah, mereka boleh buat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan berusaha memastikan setiap kawasan termasuk yang tidak ada penduduk mempunyai perkhidmatan internet supaya tidak ada lagi masalah rakyat perlu panjat bukit untuk mencari talian.
Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang melakukan latihan bukti konsep (POC) termasuk menyelesaikan masalah paling besar dan lama di Sarawak iaitu menara yang dipanggil Smart 600 atau naked tower.
DIBINA
Katanya, menara ini dibina tetapi tidak ada satu pun telco berminat untuk menyediakan perkhidmatan di situ.
“Saya panggil semua telco dan SKMM serta Menteri Kewangan setuju untuk bagi sedikit dana permulaan dan akhirnya semua telco setuju untuk masuk.
“Jadi, insya-Allah hasrat saya adalah di mana ada jalan, di situ ada internet. adakah ia boleh dilakukan? insya-Allah,” katanya.
Beliau turut memberitahu, Malaysia akan menggunakan teknologi baharu perkhidmatan internet tanpa menara yang menggunakan satelit terus ke telefon (direct to cell).
Katanya, ada beberapa syarikat sudah melakukannya tetapi belum diperluaskan termasuk Amerika Syarikat (AS) juga belum menggunakan teknologi itu sepenuhnya, tetapi dijangka antara 2025 hingga 2026 akan mula beroperasi.
“Maksudnya jika nelayan keluar ke pesisir pantai yang mana tiada internet, kalau ada (teknologi ini) boleh dimanfaatkan. Kita tidak perlu berurusan dengan syarikat telco. Ia menjadikan satelit macam menara di angkasa.
“Ketika ini AS sedang mengkaji (teknologi) sebab melibatkan spektrum, ada benda-benda teknikal perlu diuruskan. Mereka sudah membuat beberapa ujian, kita di Malaysia, belum buat ujian lagi tetapi sudah mula memanfaatkan Starlink untuk selesaikan masalah internet di pedalaman.
“Dan sejujurnya untuk 5G, manfaat yang paling besar yang boleh diperoleh oleh PMKS (Perusahaan mikro, kecil dan sederhana). Kita boleh gunakan AI (kecerdasan buatan) untuk kawalan kualiti tetapi dengan 5G akan mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata, SKMM dalam peringkat akhir perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dalam masa terdekat akan ada pertukaran memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu PMKS tempatan memanfaatkan rangkaian 5G.
“Ia melibatkan sedikit pelaburan untuk membeli peralatan, jadi kita akan bantu.
“Contohnya jika ada syarikat PMKS mahu menyemak kawalan kualiti kain sama ada mengikut spesifikasi atau tidak, 5G boleh membantu memanfaatkan AI yang laju dan lebih baik untuk kerja berulang,” katanya.


































