KUALA LUMPUR: Sembilan individu diambil keterangan berhubung ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh media sosial, Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha dalam media sosial TikTok sehingga wanita itu ditemui meninggal dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, rakaman percakapan itu diambil bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat mangsa pada Rabu lalu sebelum dia kemudian ditemukan meninggal dunia keesokan harinya.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini sembilan saksi termasuk ahli keluarga mangsa sudah dirakam keterangan.
“Namun, tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap Rajeswary.
Polis menerima laporan pukul 4.13 petang, Rabu lalu daripada seorang lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan diterima mangsa di aplikasi TikTok.
Laporan dibuat berhubung dua akaun TikTok iaitu Dulal Brothers dan ‘Alphaquinnsha’ mengenai fitnah serta ugutan terhadap Rajeswary.


































