Cody Gakpo meledak tiga gol untuk Belanda di Euro 2024.
DORTMUND: Penyerang Belanda, Cody Gakpo akan menjadi ancaman terbesar England pada separuh akhir Euro 2024, awal pagi Khamis biarpun beliau gagal menyerlah di Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool.
Menurut Utusab Malaysia, Gakpo berjaya mengatasi musim yang kurang menyinar di peringkat kelab apabila menyerlah dan membuktikan keberkesanan penyudah bersama negaranya di pentas terbesar dalam kejohanan utama di Jerman.
Pemain berusia 25 tahun berpindah ke Liverpool selepas menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan di Piala Dunia 2022 ketika Belanda disingkirkan oleh juara dunia Argentina menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir di Qatar.
Sejak itu, Gakpo bergelut untuk mendapatkan tempat di bahagian serangan dalam kesebelasan utama di Liverpool.
Mohamed Salah kekal sebagai pilihan utama di Anfield, manakala Luis Diaz, Darwin Nunez, Diogo Jota dan Gakpo semuanya berjuang untuk mendapatkan tempat mereka.
Kembali ke posisi kegemarannya di bahagian sayap sebelah kiri serangan untuk pasukan kebangsaannya, Gakpo kini menjadi antara pemain terbaik di kejohanan itu setakat ini.
“Saya bermain di sayap kiri. Di Liverpool, saya banyak bermain sebagai penyerang, jadi saya rasa itulah perbezaan yang paling ketara.
“Saya adalah pemain sayap kiri sebelum ini, ia pilihan saya. Saya rasa dalam setahun setengah yang lalu, jurulatih memerlukan saya bermain di tempat lain dan itu yang saya cuba lakukan sebaik yang saya boleh,” kata Gakpo.
Tiga golnya dalam lima perlawanan membolehkan Gakpo berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak di kejohanan itu dan dia dijangka akan meledak lagi dalam aksi separuh akhir, esok.
“Ya, dia boleh bermain sebagai penyerang, tetapi dia menunjukkan bahawa dia paling berbahaya dari bahagian kiri,” kata jurulatih Belanda, Ronald Koeman yang pasukannya sedang berusaha untuk mara ke final Euro pertama sejak mereka memenangi pertandingan itu pada 1988.

































