Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Undang-undang baharu berkaitan dengan kemudaratan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen Oktober depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang baharu itu akan merangkumi isu menyeluruh untuk jenayah dalam talian.
Menurut beliau, ia bukan sahaja kes-kes jenayah penipuan semata-mata malah turut melibatkan semua aspek jenayah dalam talian yang lain.
Katanya, undanag-undang baharu itu akan dibawa dan dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi serta Kementerian Digital tertakluk peranan masing-masing, manakala Bahagian Undang-Undang pula berperanan membantu dalam menggubal undang-undang secara menyeluruh.
“Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-undang baharu berkaitan dengan kemudaratan jenayah dalam talian telah bermesyuarat sebanyak tiga kali daripada 5 Februari, 13 Mac dan 14 Mei.
“Setelah perbincangan dihalusi, perancangan dengan kelulusan Kabinet diharapkan undang-undang menyeluruh untuk jenayah dalam talian bukan sahaja kes-kes jenayah penipuan atau scam dan kewangan (malah), jenayah kecerdasan buatan (AI), seksual serta semua aspek jenayah ini.
“Kita nak mewujudkan satu seminar undang-undang ini insyaAllah pada September dan saya harap jika Kabinet meluluskan dari segi dasar dan undang-undang baharu yang digubal itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang insya-Allah pada Oktober 2024,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung langkah jangka panjang yang dirangka menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penipuan kewangan.
Dalam pada itu, Azalina berkata, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga Jun 2024.
“Didapati juga terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan sebanyak 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 juta kepada RM1 bilion bagi 2023, manakala kerugian bagi 2024 (berjumlah) RM581 juta.
“(Berkaitan pulangan wang), cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan ini akan membenarkan pihak polis untuk menghalang wang mangsa penipuan jenayah dalam talian daripada dikeluarkan atau digunakan.
“Ia juga akan memudahkan pihak polis melakukan pengesanan wang bagi mengenal pasti wang mangsa yang ditipu secara tidak langsung ia membuka wang untuk pemulangan wang-wang ini kepada mangsa-mangsa,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkaitan jumlah kerugian wang yang direkodkan dan adakah cadangan pindaan dapat memastikan wang mangsa dapat dipulangkan kepada mangsa.


































